LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diarah menyuburkan tanah terbiar milik masing-masing dengan keluasan sehingga 320 hektar untuk projek tanaman makanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, usaha tersebut bagi memastikan bekalan makanan di negara ini mencukupi disamping mengukuhkan aspek keterjaminan makanan.
“Pada masa ini, hanya 1.2 juta hektar tanah negara dimanfaatkan untuk tujuan penghasilan tanaman makanan berbanding 7 juta hektar bagi tanaman kelapa sawit dan getah,”katanya membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, katanya, Kementerian Pertahanan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) serta syarikat lain juga akan melaksanakan projek peningkatan pertanian bijirin jagung domestik.
Untik rekod, jagung bijirin adalah bahan utama dalam makanan haiwan khususnya ayam yang selama ini diimport.
“Selain untuk meningkatkan keterjaminan makanan, (usaha ini) malah memberi peluang kerjaya kepada veteran tentera.
“LTAT menyediakan 70 ekar (28 hektar) tanah perladangan untuk melaksanakan projek ini,”katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga akan menyediakan RM30 juta untuk bekerjasama dengan beberapa kerajaan negeri bagi melaksanakan projek-projek agromakanan.