ANJING Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terus membuktikan kebolehan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) apabila kali ini anjing bernama Daisy pula berjaya menjejaki kanak-kanak dua tahun yang hilang di Sematan, Sarawak, hari ini.
Selepas Denti dan Frankie yang digelar wira Batang Kali yang kini berkhidmat bersama pasukan penyelamat di Turkiye, anjing bernama Daisy ini berjaya mengesan kanak-kanak yang hilang selama 23 jam itu.
Kanak-kanak tersebut dikatakan hilang di Kuari Batu Perigi, Jalan Kampung Perigi ditemukan selamat hari ini.
Mangsa Muhammad Rayyan Bujang Abdul Qayyum berjaya ditemukan dalam operasi SAR pagi tadi dalam radius 2 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba(PKB) dengan bantuan Daisy yang dikendalikan Dominic Bahong jam 1 tengah hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kanak-kanak itu dalam keadaan yang sihat, hanya terdapat calar-calar sedikit pada bahagian badan dan tiada luka yang parah.
“Mangsa telah diserahkan kepada pihak keluarga untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian semalam, kanak-kanak terbabit dilaporkan hilang di kuari Batu Perigi, Jalan Kampung Perigi.
Pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 2.05 petang dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu ke lokasi kejadian.
Mangsa dikhuatiri hilang sebaik disedari oleh ibu mangsa semasa sedang menunggu suami beliau pulang dari bekerja bertempat di pondok kuari Batu Perigi.
Semasa menunggu, mangsa kali terakhir dilihat oleh ibu mangsa sedang bermain di luar kawasan pondok belakang rumah kongsi kuari.
-EDISI9

