30.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

PM ucap takziah kepada keluarga Pengerusi IKIM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, yang meninggal dunia hari ini.

Anwar berkata, Allahyarham, yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebagai tokoh pemikir Islam yang memberi sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

“Kehilangan ini meninggalkan kesan mendalam kepada sanubari umat.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam Facebook, hari ini.

Allahyarham, 80, yang dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 24 Februari 2022, menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.27 pagi tadi akibat komplikasi selepas pembedahan di Hospital Selayang Kuala Lumpur.

Jenazah dibawa ke Surau Al-Mawaddah, Mutiara Bangi untuk dimandi dan dikafankan pada pukul 8.00 pagi sebelum solat jenazah pada pukul 11 pagi.

Advertisements

Jenazah disemadikan di tanah perkuburan Islam Bandar Baru bangi di Sungai Tangkas, Bangi.

Allahyarham merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Dilahirkan pada tahun 1942 di Pasir Mas, Kelantan, mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya pada tahun 1965 dan kemudiannya menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dari Columbia University, New York pada tahun 1975.

Keilmuan serta ketokohan beliau diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa. Allahyarham pernah diamanahkan sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1999 sehingga 2006. Beliau turut berperanan sebagai Pengerusi, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), sebuah lembaga yang ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan