Thursday, June 4, 2026

MOF, PLUS bakal bincang tambah lorong di Johor

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kewangan bakal mengadakan pertemuan dengan PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) bagi membincangkan permohonan kerajaan Johor tentang penambahan lorong Lebuhraya Utara-Selatan di negeri itu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pertemuan itu bertujuan mendapatkan maklum balas syarikat pengendali lebuhraya itu tentang perkara kerana penambahan lorong telah diumumkan dalam manifesto pada dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

“Minggu ini saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak PLUS bagi membincangkan cadangan dibangkitkan kerajaan negeri Johor iaitu untuk menambah lorong antara Yong Peng hingga Johor Bahru.

“Ini juga merupakan permintaan ramai pihak bertujuan untuk mengurangkan kesesakan yang terus berlanjutan sejak sekian lama, khususnya pada waktu cuti atau musim perayaan.

“Laluan di Melaka dan Negeri Sembilan sudah dibesarkan menjadi enam dan lapan lorong, namun apabila tiba di Johor, hanya empat sahaja lorong sedangkan negeri ini memberi sumbangan besar terhadap pendapatan negara,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 Peringkat Negeri Johor di Kota Iskandar, di Johor, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, penambahan lorong di lebuhraya berkenaan merupakan antara isu utama yang dibangkitkan kerajaan negeri ini selain kesesakan di pintu masuk sempadan antara Johor dan Singapura.

“Selain itu, MOF juga akan melihat beberapa isu yang menjadi kepentingan rakyat negeri ini termasuk pembinaan hospital, banjir yang kerap berlaku di beberapa daerah serta pembangunan dan penambahan sekolah-sekolah daif,” jelasnya.

Sebelum ini, kerajaan Johor beberapa kali memohon supaya laluan Lebuhraya PLUS antara Yong Peng ke Skudai dinaik taraf daripada empat kepada enam lorong berikutan kesesakan yang sering dialami di laluan itu.

Pertambahan jumlah kenderaan setiap tahun menyebabkan kesesakan sering berlaku di laluan sepanjang 70 kilometer (km) itu.

-EDISI9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan