26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Kantoi simpan dadah bernilai RM2.16 juta dalam rumah sewa

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG lelaki yang licik menjadikan rumah yang disewa sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan berjaya ditangkap polis.

Suspek ditangkap selepas disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di daerah Kluang, Johor, dalam serbuan di sebuah rumah sewa di sini, pukul 1.30 tengah hari, Khamis lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M. Kumar, dalam serbuan itu polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.16 juta.

“Antara dadah yang ditemui di dalam rumah taman terbabit ialah 35.74 kilogram (kg) serbuk ekstasi, ketamin (2.52 kg), 10,800 biji pil erimin 5 (3.24 kg) 4,869 biji pil ekstasi (1.67 kg).

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah melancarkan empat serbuan ke atas empat buah rumah di sekitar Kluang.

“Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 27 tahun ditangkap dan dadah berkenaan dirampas dalam serbuan pertama

“Tiga serbuan berikutnya kita tidak menemui apa-apa barang kes,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor, hari ini.

Ujar Kumar lagi, modus operandi yang digunakan suspek yang aktif sejak November tahun lalu itu adalah menjadikan rumah yang disewa sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Advertisements

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penglibatan individu lain serta hubungan antara penyewa rumah yang disewa oleh individu lain dalam kegiatan ini.

“Hasil siasatan awal kita mendapati, kesemua rumah terbabit adalah disewa oleh individu lain dan kita masih melakukan siasatan terhadap hubungan mereka.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek adalah negatif penyalahgunaan dadah,”katanya.

Kumar berkata, suspek juga disyaki licik apabila mengedar dadah dengan menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa termasuklah membungkus dadah dalam paket serbuk teh.

Dalam tangkapan ini, polis turut merampas empat buah kereta termasuk sebuah kereta yang didaftarkan atas nama suspek iaitu Proton Persona.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan