31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Cuepacs mohon Kerajaan naikkan gaji penjawat awam

Kunci utama untuk negara keluar daripada belenggu kos sara hidup adalah dengan kaedah meningkatkan kadar gaji serta upah pekerja.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KONGRES Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon pertimbangan kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam bagi Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Jumaat ini.

Pengerusinya, Datuk Adnan Mat berkata, ia sebagai penyelesaian masalah ekoran peningkatan kos sara hidup kebelakangan ini.

Beliau berkata, kunci utama untuk negara keluar daripada belenggu kos sara hidup adalah dengan kaedah meningkatkan kadar gaji serta upah pekerja.

“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada masa ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan kos sara hidup yang meningkat dengan begitu mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.

“Tambahan pula sistem saraan perkhidmatan awam yang diguna pakai buat masa ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Jadi kita harapkan sebuah sistem saraan yang baharu dengan model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Adnan, rakyat ingin melihat suatu perubahan yang benar-benar serius ke atas kaedah menangani kos sara hidup pada ketika ini.

“Jadi ia adalah wajar untuk kerajaan memberi keutamaan dalam menaikkan gaji penjawat awam melalui belanjawan yang akan dibentangkan nanti di samping melaksanakan langkah-langkah mengawal kenaikan kos sara hidup,” ujarnya.

Tambah beliau, kenaikan gaji tahunan pula perlu ditetapkan pada kadar minimum RM180 setahun untuk mengimbangi kos sara hidup.

Sementara itu, mengenai hal pemilikan perumahan pula, Adnan menyatakan pihaknya berharap terdapat berita gembira yang akan diberikan oleh kerajaan melalui belanjawan 2023.

“Cupeacs memberi keyakinan yang penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat dan menyelesaikan permasalahan penjawat awam dalam isu pemilikan kediaman mampu milik.

“Sejak 2018 semua pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam telah dihentikan oleh kerajaan pada ketika itu,” jelasnya.

Justeru, Adnan menjelaskan langkah tersebut dilihat menyukarkan penjawat awam untuk membeli kediaman sendiri dan terpaksa terus menghuni kuarters kerajaan atau menyewa seperti biasa.

“Penetapan harga kediaman mampu milik pula mestilah di bawah RM300,000. Penjawat awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam.

“Bayangkan kediaman di sekitar Putrajaya rata-ratanya bermula dengan harga RM400,000 ke atas dan bagaimana penjawat awam yang kebanyakan dalam kalangan B40 dan M40 mampu membelinya,” soal Adnan.

Dalam pada itu, Adnan juga berharap kerajaan meneliti dan menyelaraskan semula pemberian beberapa elaun bersesuaian dengan situasi semasa yang dihadapi penjawat awam.

“Meskipun tidak menjurus kepada kenaikan gaji, penyelarasan semula elaun penjawat awam sedikit sebanyak mampu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup sekali gus memberi kuasa membeli yang selesa.

“Belanjawan kali ini juga perlu melihat perkara-perkara yang masih tertinggal dan tidak dilaksanakan sepenuhnya sebelum ini seperti permohonan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) pada tahun lepas yang masih tidak dibayar.

Peruntukan untuk penebusan awal GCR ini sepatutnya diberikan kepada semua penjawat awam yang memohon dan bukanlah diberi berdasarkan sejumlah peruntukan sahaja,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan