27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Belanjawan 2023 bukti kerajaan prihatin – Salahuddin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan Belanjawan 2023 mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam mendepani dan menangani isu kos sara hidup  rakyat.

Malah ujar beliau, belanjawan dibentangkan selaras prinsip MADANI itu memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terus diberi keutamaan, agenda pertumbuhan ekonomi negara terus diperkasa serta diberi sokongan.

Menurutnya, kementeriannya akan terus diberikan tanggungjawab untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup negara selain peneraju kepada pembangunan Sektor Perdagangan dan Pengedaran serta kebajikan pengguna.

“Bagi memastikan rakyat terus mendapat pembelaan dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup, program menstabilkan kos sara hidup rakyat telah diberikan tumpuan melalui Konsep Payung Rahmah, di antaranya Kempen Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan Jualan Rahmah.

“RM100 juta yang diperuntukkan bagi tujuan Program Jualan Rahmah akan membolehkan KPDN melaksanakan jualan ini di kesemua 222 kawasan Parlimen, bagi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

“Melalui program ini, rakyat akan dapat menikmati harga barangan asas sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata, KPDN akan melaksanakan pengedaran barangan keperluan asas kepada penduduk di 822 kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Kedah.

“Ini termasuklah 25 kawasan pengedaran baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak; Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan.

“Program ini akan memberi manfaat kepada 1.28 juta penduduk luar bandar di enam negeri itu.

“Mereka dapat membeli tujuh barangan keperluan iaitu tepung gandum kegunaan am, gula putih bertapis kasar, beras putih dan minyak masak sawit tulen paket satu kilogram/ botol satu liter, Gas Petroleum Cecair (LPG) serta Petrol RON95 dan Diesel pada harga yang ditetapkan kerajaan.

Menurut beliau, KPDN komited untuk memastikan subsidi yang diperuntukkan ini akan dinikmati oleh golongan yang layak serta melaksanakan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan.

Dalam pada itu, KPDN juga menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit.

“Usaha ini akan dapat melindungi hak-hak pengguna dan perniagaan.

“KPDN akan terus memastikan peruntukan yang dinyatakan dalam Belanjawan 2023 digunakan mengikut perancangan agar impak dan manfaat yang baik dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan