BEKAS wartawan TV3, Nik Suryani Megat Deraman, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Exco Wanita UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.
Ahli UMNO Cawangan Kubang Kepong, bagi UMNO Bahagian Marang, Terengganu itu berkata, borang pencalonan telah diserahkan pada pukul 4.30 petang semalam di Auditorium Menara Dato’ Onn.
“Dengan berkat dan restu dari Ayahanda, Suami dan Ketua Bahagian, saya Nik Suryani Megat Deraman, ahli UMNO sejak tahun 2012, dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dalam pemilihan parti UMNO pada kali ini.
“Hasrat saya menawarkan diri ini adalah untuk meneruskan kesinambungan perjuangan, pengorbanan dan khidmat bakti Wanita UMNO pada negara sejak sebelum Merdeka,” katanya hari ini.
Ujarnya yang merupakan isteri Mohd Saiful Bukhari Azlan itu, beliau ingin berkongsi pengalaman selaku pengamal media dan industri kreatif yang telah berkecimpung hampir 20 tahun.
“Mudah-mudahan dengan sumbangan kecil saya ini, dan juga seluruh ahli UMNO, parti keramat ini akan terus mara, relevan, sebagai wadah membela Agama, Bangsa dan Tanah Air tercinta,” katanya.
-EDISI9

