YANG Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan impian untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.
Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda melahirkan rasa sukacita dengan prestasi pelaksanaan Projek Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak yang telah dimulakan pada tahun 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.
“Adalah menjadi impian Beta untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo ini khusus untuk Beta mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat Beta di pedalaman Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu.
“Program kembara ini sedang dirangka oleh Istana Negara dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” titah Baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.
Selain usaha membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, titah Baginda, pemerkasaan pentadbiran undang-undang, pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan perhatian.
“Infrastruktur berkualiti dan perhubungan akses luar bandar akan ditingkatkan menerusi pembinaan jalan luar bandar, jambatan, utiliti
bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kediaman yang lebih baik.
“Jurang pembangunan ekonomi semua kaum dan etnik termasuk Orang Asli akan perlu terus ditangani bagi melahirkan masyarakat desa yang berdaya tahan dan berdaya saing,” titah Baginda.
Ujar Seri Paduka Baginda lagi, Kerajaan juga telah mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak, adalah antara yang telah diputus dan dipersetujui oleh Kerajaan Beta.
“Pada masa yang sama, usaha untuk membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan terus digiatkan,” titah Baginda. – Edisi 9

