25.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Malaysia tidak boleh ketinggalan hadapi saingan global – Agong

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Malaysia sama sekali tidak boleh ketinggalan dalam membentuk kerjasama bagi menghadapi persaingan global.

Titah Yang di-Pertuan Agong itu, dalam mengemudi hubungan luar negara, Malaysia perlu terus mengamalkan pendekatan
pragmatik dan berprinsip.

“Semasa lawatan ke beberapa negara sebelum ini, Beta menyambut baik kesediaan pemimpin-pemimpin negara tersebut untuk meningkat dan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama diplomatik dan perdagangan
dengan Malaysia.

“Peluang seperti ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya,”titah Baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.

Titah Seri Paduka Baginda, Beta menyokong dasar luar negara yang berlandaskan kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran dengan kepentingan rakyat sebagai teras utama.

“Dari aspek industri pelancongan, Beta mengucapkan tahniah kerana Malaysia telah mencapai sasaran 9.2 juta pelancong dengan pendapatan sebanyak RM26.8 billion pada akhir tahun 2022,” titah Baginda.

Sementara itu, dari sudut kesihatan, Baginda bertitah, peningkatan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta peningkatan populasi rakyat yang semakin menua merupakan antara isu kesihatan yang perlu menjadi keutamaan Kerajaan.

“Beta mengalu-alukan usaha merangka strategi yang lebih objektif dan inklusif bagi memperkukuh kesiapsiagaan kesihatan awam dan menambah baik perkhidmatan kesihatan primer termasuk penyediaan kemudahan dan perkhidmatan lebih baik kepada warga tua.

“Usaha memodenkan penyampaian perkhidmatan kesihatan khususnya menaik taraf kemudahan, memantapkan penyampaian perkhidmatan menerusi pendigitalan dan merekayasa semula prosedur penyampaian perkhidmatan menerusi pendekatan kolaboratif dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan hendaklah wajar diteruskan.

“Selain itu, inisiatif bersifat membendung dan menggalak pengesanan awal penyakit perlu ditingkatkan menerusi Skim Peduli Kesihatan termasuk penekanan terhadap aspek kesihatan mental.

“Beta turut mengucapkan syabas atas usaha Kementerian Kesihatan menyediakan khidmat sokongan dalam bentuk talian bantuan psikososial serta khidmat kaunseling di pejabat kesihatan daerah,” titah Baginda. – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan