27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

KKM tingkat kaedah bendung penularan COVID-19

KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19.

Ini susulan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes COVID-19 di China serta sekatan dibuat beberapa negara lain terhadap pengembara dari China.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata perkara ini sememangnya adalah keutamaan KKM ketika ini.

“Dengan pelanjutan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan.

“Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik COVID-19 di sempadan negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

“Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China bahkan yang tiba dari semua negara di dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, KKM sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China serta rakan-rakan negara ASEAN.

“KKM juga sentiasa mengambil dasar berpandukan dan berasaskan sains serta data yang tepat. Berdasarkan laporan, pihak WHO telah mengadakan mesyuarat dengan China bagi urusan perkongsian data terkini dan ia akan diteruskan bagi mengetahui secara terperinci maklumat, situasi dan pengurusan COVID-19 di negara tersebut.

“Berdasarkan maklumat yang dilaporkan China kepada pihak WHO, varian dan subvarian yang ada di China juga telah dikesan di Malaysia.

“Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin COVID-19 berkesan bagi memberi perlindungan daripada mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus COVID-19 dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital,” katanya.

Selain itu, Dr Zaliha berkata, tidak lama lagi vaksin bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini.

“Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya.

“Sehubungan itu, KKM menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.

“Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian,” katanya.

Beliau berkata, KKM amat berharap, peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat, terutamanya daripada golongan yang berisiko

“Ketika ini hanya 49.8 peratus sahaja rakyat Malaysia yang sudah mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus sahaja sahaja yang sudah mengambil vaksin dos penggalak kedua.

“Disamping itu, saya ingin terus mengingatkan rakyat untuk terus menjaga kesihatan kendiri dan keluarga masing-masing serta sentiasa mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu Elakkan 3S, Amalkan 3W dan Amalkan TRIIS,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan