26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ganja RM2.1 juta: Penjawat awam antara 7 individu ditangkap

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS menahan tujuh lelaki termasuk seorang penjawat awam dan merampas 840.729 kilogram (kg) ganja bernilai RM2.1 juta dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang dan Perak, Khamis lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang itu dilakukan hasil maklumat dan risikan sejak beberapa minggu lepas.

Menurut beliau, penahanan bermula pada pukul 6.45 pagi ke atas tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta di Plaza Tol Bagan Ajam, Butterworth.

“Hasil penahanan mereka, polis menyerbu kawasan parkir kenderaan di Bukit Jambul, di sini, kira-kira 25 minit kemudian dan merampas sejumlah ganja seberat 479.729 kg bernilai RM1.1 juta yang disimpan di dalam sebuah kereta.

“Pasukan polis turut menahan sebuah kereta di Plaza Tol Changkat Jering, Perak pada pukul 7.44 pagi dan menahan tiga lagi lelaki di situ.

“Polis kemudian menyerbu kawasan Persiaran Mahsuri, Bayan Baru dekat sini, pada 2 petang dan memeriksa sebuah kereta yang diparkir di situ lalu menemukan 10 guni plastik mengandungi 361 kg disyaki Ganja dalam kenderaan berkenaan,” katanya hari ini.

Susulan itu ujarnya, polis menyerbu sebuah rumah di Air Itam dan menahan seorang lagi lelaki pada pukul 3.20 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua ganja pelbagai gred termasuk paling berkualiti itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

Katanya, sindiket tersebut yang mempunyai rangkaian di luar negara menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun lepas.

“Keseluruhan dadah yang dirampas ialah sebanyak 823 ketulan mampat ganja seberat 840.729kg yang kesemuanya bernilai RM2.1 juta dan boleh digunakan oleh 1.8 juta penagih dadah.

Menurutnya kesemua lelaki itu berusia 24 hingga 29 tahun dengan ada dalam kalangan mereka bekerja sebagai pemandu kenderaan di sebuah politeknik, jurutera, juruteknik komputer, peniaga dalam talian serta penganggur.

“Polis turut menyita dua kereta dan sebuah motosikal yang kesemuanya bernilai RM51,500 daripada mereka. Lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah,” katanya.

Ujarnya, kesemua suspek kini direman seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-EDISI9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan