AGENSI Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah bot penumpang di Pulau Indah Klang, sekitar jam 11.45 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan bot penumpang itu dibuat oleh Maritim Malaysia ketika rondaan rutin Op Ehsan di kedudukan 0.2 batu nautika utara Pulau Indah, Klang.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot yang didaftarkan untuk membawa penumpang itu dikendalikan oleh dua warga tempatan masing-masing berumur 46 dan 49 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan, 26 tong jerry can mengandungi 640 liter cecair disyaki minyak petrol dianggarkan berharga RM 1,312 yang diletakkan di bahagian belakang bot,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, katanya daripada siasatan awal ke atas kru bot pula mendapati, mereka membeli minyak dari stesen minyak di Pelabuhan Klang dan ingin menuju ke Pulau Ketam.
“Kesemua barangan itu beserta bot dan kru ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau indah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan lesen bot dan Peraturan Kawalan Bekalan 1961 iaitu membawa barang kawalan tanpa kebenaran.
Ujar beliau, Maritim Malaysia memandang serius sebarang salah laku di laut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.
Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – Edisi 9