26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 23, 2023

Bayi tak sedarkan diri di pusat asuhan disahkan meninggal dunia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika berada di pusat asuhan di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jururawat hospital swasta di Bandar Baru Bangi, 12.10 tengah hari tadi.

Ujarnya, berdasarkan maklumat jururawat, bayi berusia tiga bulan diterima dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihantar oleh pihak sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi.

“Rawatan kecemasan sudah diberikan kepada bayi berkenaan, namun tiada tindak balas sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, siasatan awal dilakukan mendapati bayi itu dihantar ibunya dalam keadaan sihat di pusat asuhan itu, 7.15 pagi tadi.

Baca juga:   Krisis politik hanya timbulkan gelisah rakyat - GPS

“Namun, bayi itu disedari tidak sedarkan diri oleh pihak pengasuh pada 10.30 pagi. Pemeriksaan pada tubuh bayi terbabit tidak menemui sebarang kecederaan.

“Mayat bayi itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Menurut Mohd Zaid lagi, semakan mendapati pusat asuhan itu beroperasi sejak 2014 dan mempunyai lesen sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur kekerasan, namun disyaki terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian pada bayi terbabit.

Baca juga:   Tengku Zafrul nafi letak jawatan menteri

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Noor Hairul Anuar Shuhaimi di talian 012-3043034 bagi membantu siasatan.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Kejar pahala, jangan siakan dengan pembaziran – Agong

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati umat Islam agar mengejar pahala bulan Ramadan serta tidak mensia-siakan bulan...

Lagi Artikel Berkaitan