33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Kapal kren ditahan bersauh tanpa kebenaran

Ketika pemeriksaan awal ke atas kapal, kapten tidak berada di atas kapal, pasukan operasi hanya menemukan enam kru

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal kren bersauh tanpa kebenaran di perairan Pulau Indah, Pelabuhan Klang sekitar jam 1.30 petang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu dibuat dalam rutin rondaan Op Ehsan dan Op Benteng Laut pada kedudukan 0.3 batu nautika Timur Pulau Indah.

“Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kren yang tertera nama Awana Salvage itu tidak mempunyai kebenaran bersauh dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Ketika pemeriksaan awal ke atas kapal, kapten tidak berada di atas kapal, pasukan operasi hanya menemukan enam kru, iaitu tiga warga tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Filipina berumur lingkungan 34 tahun hingga 49 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen turut mendapati, kesemua kru warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada penguat kuasa termasuk dokumen kebenaran bersauh.

“Sehubungan dengan itu, mereka disyaki melanggar peraturan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran,” katanya hari ini.

Beliau berkata, perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan seorang penyelia serta seorang kru dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Ujar beliau, Maritim Malaysia memandang serius terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di laut dan tindakan tegas akan diambil.

“Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mematuhi peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia,”katanya.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera. – Edisi 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: Ambil tindakan tegas – Tunku Ismail

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim hari ini menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas berhubung isu penjualan stoking...

Lagi Artikel Berkaitan