24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pendidikan wanita Afghanistan boleh jadikan aset untuk negara

Malaysia telah membuktikan bagaimana wanita telah meningkatkan reputasi negara melalui pendidikan yang mantap.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENDIDIKAN untuk wanita Afghanistan akan menjadikan mereka aset berharga kepada negara dan membantu membina daya tahan, kestabilan dan perpaduan sosial yang kukuh ke arah pembinaan negara.

Keyakinan itu diutarakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berharap Afghanistan mengkaji semula keputusan mengharamkan golongan wanita memasuki universiti di negara itu.

Katanya, adalah satu kehilangan besar sekiranya sumbangan berharga wanita tidak dihargai dalam pembinaan negara.

“Penyertaan wanita dalam pendidikan juga adalah sebahagian daripada ajaran Islam dan aset berharga untuk kemakmuran sesebuah ummah.

“Malaysia telah membuktikan bagaimana wanita telah meningkatkan reputasi negara melalui pendidikan yang mantap.

“Memanfaatkan bakat dan kemahiran wanita sebagai rakan kongsi dalam pelbagai industri telah membantu ekonomi Malaysia berkembang maju untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya di sini.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk memastikan penyertaan wanita dalam kedudukan untuk membuat keputusan dan penglibatan dalam pasaran buruh telah menyokong pertumbuhan ekonomi.

Advertisements

“Pendidikan adalah pemacu utama mobiliti sosial,” katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi, di dalam Islam, pendidikan dianggap fardu ain dan fardu kifayah bagi setiap muslim.

“Berbicara soal kehormatan wanita dalam Islam bermakna memberikan hak setiap wanita Islam akses kepada pendidikan.

“Nabi Muhammad s.a.w. juga melibatkan isteri-isteri baginda di dalam setiap majlis ilmu. Pendidikan adalah hak asasi manusia tanpa mengira jantina, bangsa, keluarga dan status sosial.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden Umno telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Afghanistan, Neda Mohammad Nadeem supaya keputusan berkenaan dikaji semula pada Isnin lalu.

Baru-baru ini kerajaan Afghanistan yang dikuasai Taliban membuat dasar menyekat golongan wanita di negara itu daripada mengikuti pengajian di universiti. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan