29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Banjir Pantai Timur: Besut lumpuh, terputus hubungan

Sebanyak 25 jalan ke daerah itu termasuk laluan pantai ditutup kepada semua lalu lintas selepas dinaiki air antara 0.3 meter dan 1.8 meter.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DAERAH Besut di Terengganu lumpuh apabila semua laluan termasuk dari Kuala Terengganu ke Kelantan ditutup kepada semua lalu lintas ekoran banjir yang melanda negeri itu.

Sebanyak 25 jalan ke daerah itu termasuk laluan pantai ditutup kepada semua lalu lintas selepas dinaiki air antara 0.3 meter (m) dan 1.8 m.

Sehingga 10 malam tadi, Jabatan Kerja Raya memaklumkan tiga laluan iaitu Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu masing-masing di Kampung Padang Luas-Bukit Yong, di Kampung Tok Dor dan di Kampung Renek ditenggelami air antara 0.3 m dan 0.8 m, sejauh 300 m.

Dua lagi laluan yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Kota Bharu iaitu Jertih/Kuala Besut di Kampung Seberang dan di Kampung Alor Lintang turut ditutup kepada semua lalu lintas selepas dinaiki air antara 1.5 m dan 1.6 m.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman, dilaporkan berkata penutupan kepada semua jenis kenderaan itu dilaksanakan sejak semalam.

Selain semua akses ditutup, jumlah mangsa banjir di Besut juga merekodkan antara tertinggi di Terengganu yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu seramai 5,492 orang.

“Kesemua mangsa daripada 1,506 keluarga ini kini berlindung di 83 PPS,” katanya ketika ditemui selepas mendengar taklimat berhubung situasi semasa banjir di Terengganu, malam tadi.

Advertisements

Terdahulu, Ahmad Izram melakukan tinjauan udara membabitkan kawasan Hulu Terengganu yang mana rata-rata kawasan dilihat masih digenangi air dengan beberapa sekolah dan kawasan perumahan ditenggelami air.

Bagaimanapun, usaha melakukan tinjauan udara ke daerah Besut tidak dapat dilakukan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

“Hasil pemantauan ini akan dilaporkan kepada ibu pejabat di Putrajaya serta Pusat Pengurusan Operasi bagi memudahkan perancangan dan tindakan yang akan diambil seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, keadaan muka bumi Besut yang berbukit menambah kesukaran kepada pasukan keselamatan untuk ke kawasan tertentu, khususnya kampung-kampung di pedalaman.

Ahmad Izram berkata, ketika ini pasukannya bergerak dengan kekuatan 367 pegawai dan anggota termasuk 81 orang pelatih daripada Akademi Bomba Wakaf Tapai.

Operasi pemindahan juga dibantu oleh pihak pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pihak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menyediakan dua buah lori bagi setiap daerah serta lima buah lori pengangkut yang disediakan oleh Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, katanya. 

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan