27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

APAD batal lesen operasi syarikat lori terbabit nahas di Gerik

Keputusan yang diambil agensi penguatkuasa tersebut turut mendapat reaksi Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) membatalkan lesen operasi syarikat lori yang hilang kawalan hingga muatannya jatuh menyebabkan kemalangan di Kilometer 69, Jalan Raya Timur Barat Gerik – Jeli pada 29 Oktober lalu.

Nahas tersebut turut mengakibatkan seorang wanita hamil cedera parah, manakala kandungannya meninggal dunia.

Pembatalan lesen operasi yang berkuat kuasa serta-merta itu, diambil oleh Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) APAD, terhadap syarikat berkenaan, Mun Fei Enterprise.

APAD menerusi kenyataannya berkata, tindakan terhadap syarikat pengangkutan itu dibuat mengikut Seksyen 57(1)(b)(x) dan Seksyen 58(1)(b) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Merujuk kepada kemalangan kenderaan barangan Kelas Pembawa A di Kilometer 69, Jalan Raya Timur Barat Gerik – Jeli pada 29 Oktober lalu, satu siasatan dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan APAD.

“JPPL APAD memutuskan bahawa pengendali kenderaan itu, gagal dalam Audit Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) dan mempunyai rekod kesalahan lampau JPJ, membabitkan keselamatan pengguna.

“Jawatankuasa memutuskan membatalkan Lesen Pengendali Mun Fei Enterprise berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, polis menahan pemandu treler syarikat itu yang melarikan diri, selepas menjadi punca kemalangan mengakibatkan seorang wanita parah di KM69, Jalan Raya Timur Barat di antara Gerik ke Jeli pada 29 Oktober lalu.

Keputusan yang diambil agensi penguatkuasa tersebut turut mendapat reaksi Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Menerusi hantaran di Facebook, Loke berkata, beliau berharap tindakan ini memberi peringatan kepada semua pengendali supaya sentiasa memberi perhatian serius kepada isu keselamatan kenderaan masing-masing.

“Sebagai Menteri, saya akan membantu pihak swasta dalam mengurangkan karenah birokrasi namun saya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal keselamatan di atas jalanraya.

“Nyawa manusia terlalu penting dan ia mengatasi segala-gala pertimbangan yang lain. Hargai nyawa dan sentiasa mengutamakan keselamatan!,”katanya.- Edisi 9

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan