29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Zahid kesal parti lawan main sentimen agama, kaum

Sepatutnya mereka tawar politik yang lebih baik, prestasi-prestasi yang telah dicapai, rekod pentadbiran yang diyakini yang perlu mereka ketengahkan.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kesal dengan tindakan segelintir parti politik yang memainkan sentimen agama dan perkauman yang melampaui batas ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, mereka sanggup menabur politik fitnah semata-mata untuk secupak undi yang hakikatnya tidak diterima oleh masyarakat majmuk di negara ini.

“Menaburkan politik fitnah merata-rata hanya untuk secupak undi kerana mereka hakikatnya tidak diterima oleh masyarakat majoriti yang lebih mahu politik kesederhanaan dan menolak politik ekstrem melanggar adab dan etika.

“Malahan, melabel-label parti lain sebagai kurang islami, sekular sedangkan mereka sendiri tidak mencerminkan apa yang didambakan tersebut,” katanya hari ini.

Zahid berkata, sewajarnya parti-parti yang membawa politik fitnah tanpa bukti dan hanya bermain sentimen berbanding politik berkhidmat ditolak rakyat.

Beliua berkata, sepatutnya tawaran-tawaran politik yang lebih baik, prestasi-prestasi yang telah dicapai, rekod pentadbiran yang diyakini yang perlu mereka diketengahkan sebagai produk politik mereka.

Katanya, menggunakan politik fitnah dan sentimen untuk memanipulasi sokongan ternyata pihak lawan kerana mereka tidak mempunyai tawaran yang lebih baik berbanding tawaran BN.

“Mereka juga tidak berprestasi tinggi apabila diberikan peluang menjawat jawatan menteri tertentu seperti menteri perundangan hingga mengakibatkan Yang di-Pertuan Agong dukacita apabila pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan Baginda.

“Jauh berbeza dengan prestasi penggantinya dari GPS yang menjadi menteri undang-undang yang membawakan pelbagai pembaharuan dalam masa singkat.

“Begitu rekod pentadbiran kerajaan negeri yang diperintah agak kurang mereka tonjolkan kerana kurang berprestasi berbanding prestasi pentadbiran kerajaan BN seperti negeri Johor membuktikan tradisi pentadbiran yang cekap memberikan impak terhadap prestasi ekonomi kerajaan negeri tersebut.

“Manakala lawan politik pula terus menggunakan politik fitnah bagi mengaburi kelemahan dan kegagalan mereka sendiri untuk mendapat sokongan.

“Insya-Allah BN akan meneruskan agenda politik sederhana, menawarkan politik yang diyakini melalui prestasi, rekod diyakini, kestabilan dan berterusan membina kemakmuran di tengah-tengah,” katanya.

Ujar beliau, yakinlah tiada tempat politik fitnah terutamanya sang penabur fitnah tersebut semakin terserlah kepalsuan agenda politik mereka yang ditolak oleh majoriti rakyat negara ini.

“Demokrasi bukanlah bermakna bebas membuat fitnah. Demokrasi ialah bersuara memberikan dan menawarkan tawaran dan pilihan yang lebih baik.

“Maka amatlah wajar kita menolak politik fitnah untuk masa depan, kestabilan dan kemakmuran Negara,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan