28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Waris Jamaluddin Jarjis selesai tuntutan harta RM1 bilion

Kalsom, 66, selaku plaintif memfailkan tuntutan itu termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla serta ibu mentuanya, Aminah Abdullah sebagai defendan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BALU kepada bekas menteri, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail bersama empat anak dan ibu mentuanya, masing-masing bersetuju berbincang bagi menyelesaikan secara baik tuntutan harta sepencarian berjumlah RM1 bilion.

Kalsom, 66, selaku plaintif memfailkan tuntutan itu termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla serta ibu mentuanya, Aminah Abdullah sebagai defendan.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abdul Shukor Abd Hamid berkata, perbicaraan kes tuntutan itu yang sepatutnya bermula semalam ditangguhkan ke 31 Januari tahun depan, bagi mengetahui keputusan perbincangan berkenaan.

“Mahkamah berpendapat lebih bagus waris Allahyarham bertolak ansur membuat perbincangan. Kita galakkan ada penyelesaian baik dan tidak mahu ikatan persaudaraan serta kekeluargaan terurai.

“Kita tidak mahu berlaku pertengkaran dalam institusi hubungan keluarga. Raikan pendapat masing-masing dan mahkamah beri peluang kepada pihak berkaitan berbincang.

“Ada bahagian kita termasuk mahkamah sendiri tak perlu masuk campur hal keluarga, masuk tak tentu pasal dan tidak tahu hujung pangkal (tuntutan kes itu),” katanya seperti dilaporkan BH Online dalam prosiding hari ini.

Turut hadir, Peguam Syarie, Nor Husniah Husin dan Datuk Sulaiman Abdullah mewakili Kalsom, manakala Peguam Syarie, Nur Hidayah A Bakar mewakili Aminah.

Terdahulu, Nor Husniah berkata, semua pihak bersetuju mengadakan perbincangan keluarga bagi menyelesaikan tuntutan itu secara baik mengikut saranan mahkamah sebelum ini.

“Pihak terbabit juga bersetuju melapangkan tarikh perbicaraan hari ini, susulan perbincangan keluarga tanpa membabitkan peguam,” katanya.

Nur Hidayah mengesahkan perbincangan itu, namun memohon penyata keterangan tambahan diserahkan kepada pihaknya 14 hari sebelum tarikh perbicaraan baharu.

Advertisements

“Perbincangan keluarga tidak mencapai apa-apa keputusan lagi, maka kita mohon penyata keterangan difailkan oleh pihak terbabit,” katanya.

Sulaiman berkata, perbincangan itu memerlukan masa bagi penyelesaian secara menyeluruh yang tidak lagi merumitkan hal keluarga.

Bagaimanapun, beliau akan memfailkan penyata keterangan tambahan jika perbincangan tidak mencapai kata putus.

“Alhamdulillah, perkembangan amat besar mahu selesaikan tuntutan secara baik, atas alasan itu apa gunanya failkan penyata jika perbincangan penyelesaian itu masih dijalankan, ini hanya akan merumitkan keadaan.

“Ia juga akan menyebabkan kos dan sia-sia jika kes diselesaikan (luar mahkamah). Kita mahu perbincangan berjalan lancar dan kes ini tidak dihebohkan, tidak masuk mahkamah (dibicarakan) serta tidak merumitkan lagi keadaan.

“Namun, kita akan berbuat demikian (failkan penyata itu) jika penyelesaian tidak dicapai,” katanya.

Perbicaraan kes sebelum ini ditetapkan pada 1, 14, 28, 29 dan 30 November, selepas Kalsom meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat yang dibuang.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaluddin ketika sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaluddin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter dinaiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita dikenali Aidana Baizieva.

Advertisements

Terkini

Tiga wanita antara terkorban nahas helikopter TLDM di Lumut

TIGA wanita yang menjadi penumpang helikopter HOM antara 10 yang terkorban dalam nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan