25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kemas lahirkan 493 graduan sijil kemahiran tahun ini

Sebanyak RM2 juta diperuntuk bagi program sijil dan diploma dalam bidang TVET yang diiktiraf oleh JPK - Mahdzir

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Kemajuan Masyarakat (Kemas) berjaya melahirkan seramai 493 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua graduan tersebut adalah pelatih daripada Akademi Kemahiran Kemas Seri Iskandar dan Gopeng di Perak dan Penyelia Kemahiran Kemas.

Beliau berkata, Kemas telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta tahun ini untuk melaksanakan program sijil dan diploma dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembanguan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Program TVET di Kemas itu memang mendapat sambutan yang tinggi daripada lepasan sekolah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia Ke-13 Kemas hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kemas, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPLB, Abdul Kahar Abdullah.

Mahdzir Khalid hadir pada Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia Ke-13 Kemas hari ini.

Jelas Mahdzir, TVET Kemas memberi fokus dalam bidang jahitan dan kulinari dengan kos pengajian ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Para pelajarnya yang terdiri daripada belia dan beliawanis kumpulan B40, berpeluang untuk menguasai kemahiran serta memperolehi sijil dan diploma.

“Kita membuka peluang itu untuk direbut oleh mereka yang berminat kerana kemahiran itu amat berguna kepada mereka sekaligus membuka peluang kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri berkaitan kemahiran yang diperolehi itu,” katanya.

Tambah Mahdzir, Kemas adalah satu-satunya agensi kerajaan yang melaksanakan program Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap 5 dalam Bidang Pengurusan Fesyen dan Pakaian.

Setakat ini, Kemas telah melahirkan seramai 2,400 orang graduan dalam pelbagai bidang kemahiran sejak tahun 2007.

Sementara itu pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan Anugerah Khas, Anugerah Ketua Pengarah, Anugerah Ketua Setiausaha (KSU) dan Anugerah Menteri kepada pelatih yang mencapai tahap cemerlang sepanjang tempoh pengajian.

Untuk rekod, seramai 151 graduan adalah penerima DKM manakala 342 adalah graduan SKM. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan