
PARTI Tindakan Demokratik (DAP) dilihat antara parti paling ghairah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) apabila menjadi parti paling awal mengumumkan calon-calonnya.
Biarpun menjadi antara parti yang menentang pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri pada 10 Oktober lalu, namun setakat hari ini DAP telah mengumumkan sekurang-kurangnya 16 calon termasuk kesemua lapan kerusi yang ditandingi di Sarawak.
Antara nama-nama baharu yang menjadi pertaruhan DAP ialah ADUN Ketari, Young Syefura Othman yang akan bertanding di Parlimen Bentong sementara anak tokoh kewartawan negara, Syahredzan Tan Sri Johan pula dipertaruhkan di Bangi.
Pemilihan Young Syefura sebagai wakil DAP di Bentong menyebabkan penyandangnya Wong Tack ‘merajuk’ dan bercadang untuk bertanding sebagai calon bebas bagi mempertahankan kerusi itu.
Bagi sekutu DAP dalam Pakatan Harapan (PH), PKR pula setakat ini hanya mengumumkan dua kerusi yang akan ditandingi oleh Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, akan bertanding di Parlimen Tambun manakala Wan Azizah meninggalkan Pandan untuk bersaing di Bandar Tun Razak.
Manakala Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka diletakkan di Parlimen Gombak untuk bertemu dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sudah pasti akan mempertahankan kerusi tersebut atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, PKR telah mengumumkan tujuh nama besar yang akan mewakili parti itu namun tidak dinyatakan kerusi yang akan mereka wakili.
Antara nama besar itu ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Zainal Azman Abu Seman yang akan bertanding di Perak; bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (Pahang) serta anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Nik Omar Nik Abdul Aziz (Perak).
Bagi PN pula, sehingga kini dua kerusi sudah diumumkan iaitu Parlimen Masjid Tanah yang akan dipertahankan oleh Datuk Mas Ermieyati Samsuddin manakala Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin akan beralih ke Putrajaya.
Sementara itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hampir pasti akan mempertahankan Parlimen Pagoh sementara Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Tambun.
Barisan Nasional (BN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) dijangka akan mengumumkan senarai calon masing-masing minggu depan.
Sehingga kini Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mempertahankan kerusi Bagan Datuk sementara timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan hampir pasti bertanding di Parlimen Rembau.
Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad pula dijangka akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.
Berikut senarai calon-calon Parlimen yang telah diumumkan setakat ini:
PAKATAN HARAPAN (PH)
- Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) – Tambun
- Datuk Seri Wan Azizah Ismail (PKR) – Tun Razak
- Datuk Seri Amirudin Shari (PKR) – Gombak*
- Datuk Seri Aminuddin Harun (PKR) – Port Dickson*
- Datuk Zainal Azman Abu Seman (PKR) – Perak#
- Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan (PKR) – Pahang#
- Nik Omar Nik Abdul Aziz (PKR) – Perak#
- Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz – Wilayah Persekutuan#
- Saipolyazan Yusop (PKR) – Selangor#
- Jufitri Joha (PKR) – Negeri Sembilan#
- Fathin Amelina Fazlie (PKR) – Perlis#
- Young Shefura Othman (DAP) – Bentong
- Chow Yu Hui (DAP) – Raub
- Chiong Yoke Keong (DAP) – Cameron Highlands
- Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP) – Lipis
- Gobind Singh Deo (DAP) – Damansara
- Ye Bee Yin (DAP) – Puchong
- Syahredzan Johan (DAP) – Bangi
- V Ganabatirau (DAP) – Klang
- Chieng Jen (DAP) – Stampin
- Mordi Bimol (DAP) – Mas Gading
- Dr Kelvin Yii (DAP) – Bandar Kuching
- Larry Jabul (DAP) – Serian
- Tony Chiew Chan Yew (DAP) – Bintulu
- Roderick Wong Siew Lead (DAP) – Sarikei
- Oscar Ling (DAP) – Sibu
- Alice Lau (DAP) – Lanang
- Dr Wan Ahmad Kamal Wan Abdullah (PAN) – Kubang Kerian
- Dr Hafidzah Mustakim (PAN) – Kota Bharu
PERIKATAN NASIONAL (PN)
- Tan Sri Muhyiddin Yassin – Pagoh*
- Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu – Tambun*
- Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu) – Masjid Tanah
- Datuk Dr Radzi Jidin (Bersatu) – Putrajaya
- Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu) – Gombak*
BARISAN NASIONAL (BN)
- Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (UMNO) – Bagan Datuk*
- Datuk Seri Mohamad Hasan (UMNO) – Rembau*
GERAKAN TANAH AIR (GTA)
- Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang) – Langkawi*
*Belum disahkan #Belum diumumkan kerusi yang ditandingi