33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Cadang skim pinjaman mikro, bantu rakyat tiada KWSP

Ia tidak memberi beban keterlaluan kepada kerajaan memandangkan pinjaman ini datang daripada pihak bank sendiri.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMUDA UMNO mencadangkan kerajaan melaksanakan skim pinjaman mikro bank melalui jaminan kerajaan bagi membantu rakyat yang tidak mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, kadar pinjaman berkenaan boleh diberikan sebanyak RM5,000 tanpa syarat kepada setiap rakyat berumur lebih 18 tahun.

“Kadar keuntungan yang ditetapkan adalah rendah iaitu tiga peratus setahun. Ia tidak memberi beban keterlaluan kepada kerajaan memandangkan pinjaman ini datang daripada pihak bank sendiri.

“Kerajaan jangan takut dan beranggapan rakyat akan lari dan tidak bayar hutang.

“Sepanjang saya terlibat hampir 20 tahun dalam industri perbankan, rakyat biasalah yang sebenarnya paling berdisiplin dalam membayar ansuran.

“Yang liat dan macam-macam perangai sebenarnya konglomerat besar. Yang menggunakan segala macam ruang, lompong undang-undang dan insentif kerajaan untuk mengelak dan melewatkan pembayaran,” katanya dalam hantaran Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, rekod Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga menunjukkan kadar bayaran balik mencecah 95 peratus, selain membuktikan sikap kebertanggungjawaban rakyat miskin dalam melunaskan hutang.

Katanya, kejayaan kaedah tersebut juga terbukti dalam mewujudkan pekerjaan tempatan.

“Contohnya, pinjaman mikro sebanyak USD2600 (RM11,000) kepada 700 penerima di Amerika Syarikat telah berjaya mencipta pekerjaan dengan gaji tahunan purata sebanyak USD26,742 (RM120,000) bagi setiap pekerja mereka,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata tempias positif kepada skim pinjaman mikro besar-besaran itu juga akan terkena kepada industri perbankan dan pasaran saham.

Katanya, bank-bank akan mendapat untung dari segi kutipan faedah pinjaman serta pasaran saham boleh mendapat manfaat melalui pembelian saham pelabur runcit yang bertambah.

“Hari ini pelabur asing telah secara konsisten mengeluarkan dana mereka daripada pasaran saham kita atas faktor global.

“Justeru, skim pinjaman ini akan membolehkan sebahagian rakyat menggunakan lebihan wang mereka untuk melabur di pasaran tempatan dan menyeimbangkan dana keluar asing tadi,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan