27.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 28, 2022

Nasib Bung Moktar, Zizie Izette pula diketahui hari ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEPUTUSAN sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad atau dibebaskan, akan diumumkan Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob dijadualkan memberi keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada jam 3 petang.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, maka pasangan suami isteri itu akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya mereka akan dilepas dan dibebaskan.

Pada 17 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2 Jan 2020 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 24 Jun lepas.

Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra Adnan Yusof, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra Dr Habibah Suleiman, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsharil Saharom, serta dua ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala peguam M Athimulan mewakili Bung Moktar serta peguam Datuk K Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri bagi pihak Zizie Izette.

Baca juga:   Ibu tunggal didakwa gubah wang haram hampir RM1 juta
Baca juga:   Lelaki maut angkara merokok di balkoni tingkat 12

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu adalah Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati, Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Baca juga:   Lelaki maut angkara merokok di balkoni tingkat 12

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Baca juga:   Pemilihan UMNO: SPRM sah terima aduan rasuah pegawai ROS

Zizie Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Terkini

MINDEF terus tambah baik inisiatif pendidikan ATM

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) telah memuktamadkan pelbagai perancangan bagi menambahbaik aspek pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Yayasan Lembaga...

Lagi Artikel Berkaitan