24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Malaysia lepasi pulangan perdagangan dan pelaburan di Ekspo 2020 Dubai

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA melepasi sasaran pulangan perdagangan dan pelaburan dalam tempoh enam bulan penyertaan Ekspo 2020 Dubai dengan sebanyak tujuh kali ganda potensi perdagangan dan pelaburan dicatatkan membabitkan jumlah keseluruhan RM77.25 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kejayaan ini diraih melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian dan Surat Niat melibatkan syarikat-syarikat serta pihak-pihak luar termasuk dari Amerika Syarikat, China, Emiriah Arab Bersatu, India, United Kingdom dan Qatar.

Menurut beliau, sejumlah 4,971 pertanyaan perniagaan turut direkodkan dan bagi memaksimumkan peluang perdagangan dan perniagaan, Pavilion Malaysia yang mewakili penyertaan negara pada Ekspo berkenaan juga berjaya mengadakan sebanyak 2,555 sesi padanan perniagaan secara fizikal dan maya.

“Secara keseluruhannya, Pavilion Malaysia telah menerima sejumlah 1.2 juta pengunjung, malah disenaraikan sebagai satu daripada lima pavilion paling hijau dan merupakan antara tujuh pavilion paling digemari oleh media antarabangsa.

“Syabas saya ucapkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian peneraju dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) selaku agensi pelaksana,”katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai di ibu negara malam tadi.

Advertisements

Perdana Menteri berkata, beliau yakin, impak penyertaan di Ekspo 2020 Dubai akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan pembentukan negara pada masa hadapan apabila kerjasama perdagangan yang diperoleh termasuklah rumah pintar hijau, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pertanian, tenaga bersih dan banyak lagi penyelesaian masa depan.

“Dedikasi yang tinggi dan kerjasama erat melalui pendekatan Whole-of-Government telah menjadikan Pavilion Malaysia satu platform yang berkesan bagi perkongsian idea serta berjaya mengetengahkan potensi negara untuk menerajui agenda kelestarian global,”katanya.

Menurutnya, Pavilion Malaysia menjadi lambang kejayaan Keluarga Malaysia apabila nilainya diterjemahkan kepada pelan tindakan yang kukuh serta sikap bersatu-padu dalam mencapai keharmonian, kemajuan, kemampanan dan kestabilan.

“Justeru, Kerajaan akan terus komited dalam memastikan dasar kerajaan mengutamakan keperluan untuk memelihara kekayaan biodiversiti negara serta kepesatan pembangunan adalah mesra alam bagi manfaat generasi akan datang,”katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan