34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

DE Rantau: Malaysia sebagai hab pilihan nomad digital

Ia bertujuan untuk menjana kesan limpahan buat ekonomi menerusi akses yang saksama ke atas pengetahuan digital serta peluang pendapatan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PROGRAM DE Rantau yang dilancarkan bakal memacu hala tuju Malaysia untuk menjadi hab pilihan para nomad digital di rantau Asia Tenggara, sejajar dengan hasrat Malaysia Digital (MD).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, biarpun berhadapan dengan persaingan yang sengit daripada negara-negara jiran, Malaysia mempunyai acuan yang tepat untuk menjadi lokasi tumpuan para individu yang bergelar nomad digital.

“Kita memiliki infrastruktur yang mantap, kos sara hidup yang berpatutan, masyarakat majmuk, populasi berbilang bangsa, makanan yang beraneka citarasa, dan banyak lagi kelebihan lain untuk memperkukuhkan kedudukan kita.

“Meskipun gaya hidup nomad digital ini bukanlah sesuatu yang baharu, trend gaya hidup tersebut semakin popular disebabkan pandemik Covid-19 kerana lebih ramai orang memilih untuk bekerja dan tinggal di mana-mana sahaja yang mereka kehendaki dan pada masa yang sama memanfaatkan kehidupan dengan penggunaan teknologi,” katanya.

Belliau berkata demikian ketika melancarkan DE Rantau di Pusat Konvensyen Setia Spice, Pulau Pinang hari ini.

Untuk rekod, program DE Rantau itu adalah bagi memangkin penerimagunaan teknologi digital selain menggalakkan mobiliti dalam kalangan warga profesional digital serta pelancongan di Malaysia.

Selain daripada pengenalan Pas Nomad DE Rantau yang memudahkan nomad digital warga luar negara yang layak untuk menetap di Malaysia selama 12 bulan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga akan mewujudkan sebuah ekosistem berdaya maju bagi mendukung gaya hidup nomad digital yang menginginkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.

Ujar Annuar lagi, MDEC yang menerajui inisiatif berkenaan akan menyelia pembangunan hab-hab nomad digital dan ekosistem tempatan agar ia bersesuaian dengan gaya hidup nomad digital.  

Advertisements

Menurutnya, kerjasama dijalin dengan para pemain industri bagi menarik para nomad digital melalui pelbagai program capaian (outreach programme) dan kesedaran serta memudahkan urusan permohonan Pas Nomad DE Rantau.

“Menerusi penubuhan Hab DE Rantau yang sedia menerima nomad digital dan ekosistem yang berdaya maju, maka pertukaran pengetahuan dan pengalaman dalam kalangan nomad digital tempatan dan luar negara boleh berlaku, sekali gus melahirkan komuniti dan perniagaan tempatan yang berpengetahuan dan maju,”katanya.

Program DE Rantau itu mengunjurkan sebanyak RM4.8 bilion akan disumbangkan untuk ekonomi dalam negara pada tahun 2025.

Lokasi rintis bagi fasa pertama DE Rantau adalah di Pulau Pinang, Langkawi, Kedah dan Kuala Lumpur.

Di bawah MD, DE Rantau merupakan salah satu daripada pelbagai Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) yang sedia ada dalam perancangan bagi tahun 2022.

Ia bertujuan untuk menjana kesan limpahan buat ekonomi menerusi akses yang saksama ke atas pengetahuan digital serta peluang pendapatan.

Sehubungan itu, permohonan untuk Pas Nomad DE Rantau akan dibuka mulai 1 Oktober 2022 dan individu yang berminat boleh melayari https://mdec.my/derantau untuk mendaftar.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan