34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

96 PPS di Kuala Lumpur, Putrajaya sedia diaktifkan – Rina

PPS tersebut mampu menampung lebih 22,000 mangsa banjir di sekitar ibu negara dan Putrajaya

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 96 pusat pemindahan sementara (PPS) sedia diaktifkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi persiapan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, PPS tersebut mampu menampung lebih 22,000 mangsa banjir di sekitar ibu negara dan Putrajaya.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada 6,010 PPS di seluruh negara yang berupaya menempatkan lebih 1.6 juta orang yang sedia digerakkan pada musim banjir.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi fokus kepada empat perkara iaitu perlindungan, makanan, kaunseling dan pendaftaran di PPS.

“Dalam soal penyediaan makanan, penggunaan makanan bungkusan retort digunakan di PPS sebagai persediaan awal bagi menjamin mutu dan kesegaran serta memastikan sifar bakteria,” katanya ketika berucap merasmikan Program Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS, hari ini.

Advertisements

Seramai 250 peserta terdiri daripada warga kerja JKM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pejabat Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Majlis Perwakilan Penduduk menyertai program itu di Pusat Komuniti Sentul sebagai kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Sementara itu, mengulas program tersebut Rina berkata, ia adalah bertujuan memberi maklumat dan pendedahan berkaitan pengurusan bencana secara lebih cekap, bersepadu dan berkesan kepada petugas terlibat.

“Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dilaporkan mengenal pasti sejumlah 36 titik panas berisiko banjir di ibu kota antaranya Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Kampung Kassipilay, Kampung Puah dan Kampung Chubadak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JKM Datuk Shaharuddin Abu Sohot ketika ditanya berkenaan persiapan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada musim banjir, berkata, pihaknya sedia berunding dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pengendalian lokasi memandangkan PPS dan pusat mengundi lazimnya menggunakan tempat yang sama.

“Belum ada pelan yang khusus tapi kita akan berunding kalau tempat diperlukan untuk urusan pilihan raya,” katanya.— BERNAMA

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan