26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, March 31, 2023

SRC: Peguam baharu Najib nafi ada cadangan menarik diri

Bekas menteri undang-undang itu menafikan firmanya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, memberitahu mahkamah bahawa ia akan menarik diri sebagai peguam cara pada pendengaran itu.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PEGUAM cara baharu Datuk Seri Najib Razak menafikan laporan media bahawa mereka bercadang untuk menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam rayuan kes SRC yang bermula di Mahkamah Persekutuan.

Peguam, Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau terkejut apabila kenyataan yang dibuat dalam kamar kepada Timbalan Pendaftar hampir serta-merta disiarkan oleh media selepas perbicaraan pengurusan kes.

“Saya tidak pasti siapa sumber laporan media itu,” katanya, sambil menambah bahawa ia “tidak betul dan tidak tepat” dalam satu hantaran dalam Facebook hari ini.

Bekas menteri undang-undang itu menafikan firmanya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan menarik diri sebagai peguam cara pada pendengaran itu.

“Laporan media yang menyatakan sebaliknya adalah berniat jahat dan dikesali. Kami tidak mengabaikan anak guam kami.

“Kami akan terus bertindak untuk (Najib) selagi kami mempunyai keyakinannya,” katanya.

Ujar Zaid lagi, Najib mempunyai rungutan yang sah mengenai sabitan kesalahannya, khususnya mengenai perkara berkaitan kedaulatan undang-undang, undang-undang berkaitan berat sebelah dan konflik kepentingan.

Baca juga:   7 pelajar lelaki sekolah bergaduh, gara-gara ejekan

Menurutnya, ia adalah “tugas mulia” untuk seorang peguam bela mewakili orang yang dituduh dengan ketidakpuasan sedemikian tanpa berprasangka akan perkara itu.

“Membuat penghakiman adalah bidang kuasa mahkamah. Sebagai peguam, tugas kami adalah membentangkan kes anak guam mengikut kemampuan kami,” katanya.

“Harapan Najib ialah beliau akan mendapat perbicaraan penuh dan adil di hadapan Mahkamah Persekutuan,” kata Zaid.

Baca juga:   Ada kalanya kita merasa kita keseorangan - Najib

“Ia adalah kewajipan kami sebagai peguam cara untuk membolehkan proses itu,” katanya.

Peguam kanan itu menjawab kritikan yang dibuat terhadap firmanya dan beliau secara peribadi, dengan menyebut Ahli Parlimen Hanipa Maidin (PH-Sepang), rakan peguam, yang suratnya diterbitkan FMT semalam.

“Sindiran (Hanipa) semalam bahawa peguam yang menerima arahan pada saat akhir bermotifkan wang adalah sangat tidak adil.

“Sepanjang kerjaya saya sebagai peguam dan ahli politik, saya tidak pernah bermotifkan wang atau jawatan. Keadilan adalah perkara yang penting bagi saya,” katanya.

Zaid menyifatkan sebagai “tidak masuk akal” sebarang cadangan bahawa tidak pernah ada justifikasi untuk pertukaran peguam pada saat-saat akhir, dengan mengatakan bahawa dalam kes Najib, terdapat “keperluan sebenar untuk perubahan perspektif dan menetapkan semula hujah”.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa pertukaran peguam hanyalah percubaan untuk menangguhkan rayuan, menyeru pengkritik untuk membandingkan kes Najib dengan kes berprofil tinggi lain yang telah dibawa ke mahkamah.

Zaid percaya firmanya telah membawa perspektif baharu kepada kes itu.

Terdahulu, Najib disabit bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa dan penggelapan dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International pada 28 Julai 2020, menyusuli perbicaraan yang berlangsung selama 76 hari.

Baca juga:   Lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di dahi

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis tahun lepas.

Baca juga:   Lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di dahi

Mahkamah Persekutuan menetapkan permohonan Najib memohon perbicaraan semula dan rayuan akan didengari mulai 15 hingga 26 Ogos.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

4 beradik maut dalam kebakaran dikebumi satu liang

JENAZAH empat beradik yang maut dalam kejadian kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar malam semalam, selamat dikebumikan dalam satu...

Lagi Artikel Berkaitan