25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Sindiket penipuan pelaburan Bitcoin tumpas

Kegiatan penipuan ini dipercayai menyasarkan mangsa dari negara Jepun.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan Bitcoin dalam talian dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur, semalam dan menahan lapan suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan yang menyasarkan mangsa dari Jepun.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dengan dibantu oleh Bahagian Risikan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta Pakar Analisa Media Sosial, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia (JSM) Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata suspek yang ditahan adalah membabitkan seorang lelaki warga China, empat lelaki tempatan dan tiga wanita tempatan berusia antara 19 hingga 33 tahun.

Menurutnya, turut dirampas dalam serbuan itu adalah lapan komputer riba, 16 telefon bimbit pelbagai jenama, satu modem dan satu router (penghala) yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

“Berdasarkan hasil semakan pakar mendapati terdapat unsur-unsur penipuan atas talian membabitkan pelaburan Bitcoin dengan sindiket ini menggunakan saluran internet tempatan sebagai akses internet.

“Kegiatan penipuan ini dipercayai menyasarkan mangsa dari negara Jepun dan kesemua suspek juga telah bekerja antara dua hingga tiga minggu dengan tawaran kerja diterima melalui laman sosial Facebook,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesemua tangkapan adalah pekerja sindiket yang menerima bayaran gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan dan akan diberikan komisen tiga hingga lima peratus dari keseluruhan kutipan yang berjaya dibuat dalam tempoh sebulan dengan gaji diberikan seorang lelaki tempatan.

“Sindiket ini telah beroperasi sejak pertengahan bulan ini dan kesemua suspek akan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan