24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Penganggur dihukum mati rogol, liwat, bunuh nenek

Kejadian di sebuah rumah flat di Kampung Tasik Tambahan, Ampang antara 11.40 pagi hingga 1 tengah hari pada 19 September 2019.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG penganggur yang membunuh seorang nenek berusia 85 tahun selepas merogol dan meliwat tiga tahun lalu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikan terhadap tertuduh, K. Satiaraj,30, yang didapati bersalah selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Berdasarkan pertuduhan, Satiaraj telah membunuh seorang wanita berusia 85 tahun di sebuah rumah flat di Kampung Tasik Tambahan, Ampang dekat Kuala Lumpur antara 11.40 pagi hingga 1 tengah hari pada 19 September 2019.

Ab. Karim dalam penghakimannya menegaskan kenyataan tertuduh bersifatkan penafian semata-mata apabila menyatakan tiada niat untuk membunuh.

“Ini kerana tertuduh telah menyumbat kain ke dalam mulut selain mengikat mulut sampai ke telinga. Ini menunjukkan tertuduh mempunyai niat mencederakan rongga pernafasan si mati.

“Ini (tindakan) tertuduh akan menyebabkan kelemasan tanpa udara yang membawa kematian agak tinggi (kepada si mati),” katanya.

Jelas Ab. Karim, keterangan tertuduh bahawa semasa kejadian berada dalam keadaan mabuk disebabkan dadah juga tidak boleh diterima ekoran tertuduh tidak mempunyai masalah untuk menceritakan kejadian itu.

Ini termasuk pecah masuk rumah si mati untuk mencuri, mengetahui tutup mulut akan membuatkan si mati tidak menjerit dan mengikat tangan si mati supaya tidak memboleh membuka mulutnya.

“(Kesalahan) rogol dan liwat, tertuduh telah akui salah. Tertuduh juga telah menyelongkar almari si mati dan mengambil rantai emas.

“Tertuduh juga telah meminta seseorang gadaikan rantai emas itu. Justeru, sebelum, semasa dan selepas (kejadian) tertuduh berada dalam keadaan normal,” ujarnya.

Justeru, Ab. Karim menegaskan tiada hukuman lain dalam kesalahan ini kecuali hukuman gantung sampai mati.

Advertisements

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili Peguam Salidin Mohd. Yasin.

Sepanjang prosiding kes bermula 2 Disember tahun lalu seramai 19 saksi pendakwaan telah dikemukakan dengan pembelaan dilakukan menerusi keterangan tertuduh di kandang saksi.

Mengikut laporan media tiga tahun lalu, mayat mangsa ditemui oleh anaknya yang baru pulang dari kerja kira-kira jam 5 petang, dalam keadaan tertiarap, tangan diikat di belakang, kepala ditutup dengan kain dan seluar yang dipakai turut dilucutkan, di dalam biliknya. 

Anak mangsa kemudian terus menghubungi polis yang tiba tidak beberapa lama kemudian dengan pasukan forensik serta K9 untuk menjalankan siasatan. 

Memandangkan tiada pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu, polis mengambil keterangan dari jiran-jiran berdekatan. Tetapi mereka memaklumkan, tidak mendengar apa-apa yang pelik pada hari kejadian. 

Anak lelaki mangsa kemudian ditahan untuk membantu siasatan kerana disyaki membunuh ibunya kerana ada saksi yang mendakwa dua beranak itu bergaduh sebelum mangsa ditemui mati. 

Tetapi keluarga mangsa memaklumkan, hubungan dua beranak itu adalah baik dan sudah lama tinggal bersama. Mereka telah menetap di rumah tersebut lebih dari 30 tahun dan disayangi oleh jiran-jiran. 

Siasatan lanjut kemudian menemui kesan air mani pada mayat mangsa tetapi tiada tanda-tanda menunjukkan mangsa telah dirogol. Penemuan bukti baharu itu sekali gus membuktikan anak mangsa tidak bersalah. 

Selain itu, polis juga menemui kesan cap jari seorang lelaki di lokasi kejadian yang membawa kepada penahanan K. Sathiaraj atau Eno.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan