24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

RUU Sumbangan Politik bakal dibentangkan di Parlimen, Oktober ini

RUU berkenaan dilihat penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

RANG Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik dijangka dapat dibentangkan pada sidang Parlimen, Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata terdahulu satu Memorandum Jemaah Menteri dijangka dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, bulan depan.

“Satu memorandum Jemaah Menteri dijangka dibentangkan pada mesyuarat Kabinet pada September ini bagi membolehkan RUU Sumbangan Politik dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan diadakan pada Oktober 2022,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi juga memaklumkan, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan enam entiti termasuk Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung RUU berkenaan.

Perbincangan itu turut membabitkan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM).

“Antara perkara dasar penting yang telah dibincangkan adalah berhubung penubuhan entiti pengawalseliaan sumbangan politik, penyumbang yang dibenarkan dan penetapan penalti ke atas kesalahan di bawah undang-undang ini,” katanya.

Advertisements

Beliau mengarahkan GIACC memperhalusi perkara-perkara dasar berkenaan, manakala BHEUU dan AGC pula menyediakan draf pentadbiran dengan mengambil kira pandangan serta contoh-contoh dikemukakan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Selain itu, analisis perbandingan pemakaian undang-undang ini dari negara-negara lain perlu dilaksanakan bagi tujuan penanda aras undang-undang ini,” katanya turut mengesyorkan undang-undang itu diselaraskan dengan undang-undang sedia ada di bawah RoS dan SSM.

Wan Junaidi berkata, beliau juga menyarankan agar draf pentadbiran disediakan secepat mungkin bagi membolehkan sesi libat urus diadakan dengan semua pemegang taruh mengikut garis masa yang akan disediakan oleh GIACC.

“Bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik, adalah wajar undang-undang ini dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Pada 19 Mei lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik, namun ia masih perlu dibincangkan dengan ahli Kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.

RUU berkenaan dilihat penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik, selain dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan.- BERNAMA

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan