30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ribut landa Kuala Lumpur, enam kenderaan dihempap pokok

Setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku berikutan insiden pokok tumbang ini.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

HUJAN lebat berserta angin kencang atau ribut di sekitar ibu negara petang tadi menyebabkan enam buah kenderaan rosak dihempap pokok tumbang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur berkata, sebanyak lapan kes pokok tumbang dilaporkan di hadapan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta Mas 1; hadapan sebuah kondominium di Mont Kiara Pines; Lorong Duta 4 Bukit Tunku; Jalan Ismail Ghaney, Kampung Kasipillay dan Jalan Beruas Damansara Height.

Selain itu menurutnya, sebuah papan tanda turut menghempap sebuah kereta jenis Axia dan tiga motosikal di stesen bas Jalan Duta, Taman Duta.

“Kejadian pokok tumbang juga berlaku di Royal Domin Sri Putra Mas 2, Jalan Kuang.

“Kejadian pokok tumbang berlaku di Jalan Lembah Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur hingga menyebabkan lalu lintas terhalang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau lagi, setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku berikutan insiden pokok tumbang ini.

Sementara itu, anggota Balai Polis Sri Hartamas memberikan bantuan awal terhadap kejadian pokok tumbang di sekitar kawasan pentadbiran balai berkenaan kira-kira pukul 5 petang tadi.

Polis Brickfields dalam satu hantaran di Facebook menyatakan Koperal Abdul Rahman bersama empat orang PRP Balai polis Sri Hartamas telah memberi bantuan awal terhadap kejadian pokok tumbang di sekitar kawasan Sri Hartamas.

“Lokasi kejadian di hadapan Plaza Mont Kiara, Jalan Kiara 4 dan di Jalan Sri Hartamas 1, bersebelahan SK Seri Hartamas.

“Bantuan awal diberikan dengan membantu mencantas, menebang serta mengalihkan sisa pokok di lokasi tempat bencana bagi memastikan kelancaran pergerakkan lalu lintas dan juga keselamatan penduduk setempat.

Menurut hantaran berkenaan, keadaan pokok tumbang di 3 lokasi tersebut telah berjaya dibersihkan sepenuhnya pada jam 6.50 petang dan semua jalan di lokasi tersebut dapat dilalui oleh kenderaan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan