KONTINJEN perbarisan terdiri daripada barisan jurumasak menarik perhatian dan mewarnai pada acara perbarisan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini.
Di sebalik peserta acara perbarisan yang berbaju celoreng dan pelbagai seragam pasukan keselamatan, ‘kontinjen jurumasak berbaju putih, berseluar hitam lengkap topi tinggi atau toque tidak melepaskan peluang turut berkawad bersama barisan wira negara.
Julung kali dilihat menyertai acara sedemikian, ia mungkin mencetuskan tanda tanya segelintir penonton di Dataran Merdeka mengapa kontinjen wira tidak didendang melibatkan lebih 40 cef atau jurumasak daripada Persatuan Jurumasak Malaysia itu turut melakukan lintas hormat.
Hakikatnya, ketangkasan mereka ‘bersilat’ di dapur dengan ‘bersenjatakan’ sudip dan senduk adalah antara kumpulan yang memainkan peranan penting sebagai penyedia makanan sedia di hospital ketika kapasiti wad hospital dipenuhi pesakit COVID-19 semasa wabak tersebut mula ‘menyerang’ negara pada awal 2020.
Semasa lalu di hadapan Pentas Diraja, kontinjen cef turut menarik perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berdiri, ceria sambil melambaikan tangan kepada kontinjen tersebut.
Teruja dan berbangga dapat menyertai acara pada hari bersejarah negara itu sebagai sepasukan jurumasak, presiden persatuan Khairuddin Kamaruddin menyifatkan peluang itu ibarat bulan jatuh ke riba.
“Alhamdulillah, sebenarnya sudah lima tahun kami memohon peluang ini, akhirnya tahun ini diberi rezeki , tentunya ia penghargaan yang amat bermakna buat kerjaya kami, ” katanya. – BERNAMA