29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Bapa campak tiga anak dari atas MRR2 sebelum terjatuh

Suspek dan dua anak lelakinya mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah sementara anak perempuannya kritikal

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG lelaki warga Myanmar bertindak kejam apabila sanggup mencampakkan tiga anaknya berusia antara enam dan lapan tahun dari jejambak Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran lampu isyarat Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur awal pagi ini.

Dalam kejadian itu, dua anak lelakinya berusia enam dan tujuh tahun meninggal dunia di tempat kejadian sementara anak perempuannya berusia lapan tahun kini dirawat di Hospital Selayang dan keadaannya kritikal.

Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berusia 38 tahun itu kemudiannya dipercayai terjatuh dari lokasi yang sama, iaitu dari ketinggian kira-kira 20 meter.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, lelaki berkenaan dilihat berjalan di lebuh raya itu sambil mendukung seorang kanak-kanak sementara dua lagi mangsa dipimpin di tangan kanan dan kirinya.

“Apabila seorang saksi cuba menghampirinya, suspek secara tiba-tiba bertindak mencampak kesemua tiga anaknya sebelum dia terjatuh,” katanya dalam kenyataan di sini.

Eng Lai memaklumkan, suspek dan dua anak lelakinya mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah sementara seorang lagi anak perempuan yang berusia lapan tahun dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Advertisements

Berdasarkan pemeriksaan pegawai perubatan katanya, anak perempuannya itu mengalami kecederaan dalaman di perut dan keretakan di bahagian rusuk kirinya.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal,” katanya.

Ujar beliau, setakat ini polis masih belum mendapat sebarang maklumat berhubung ibu kepada mangsa.

Beliau memberitahu, mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superitendan Baldev Singh Gurdial Singh di talian 012-480 6062 atau balai polis berhampiran dengan segera. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan