PRESIDEN Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan rakyat kini mahukan satu parti yang kurang berpolitik tetapi lebih bekerja.
Beliau menyatakan, rakyat mahu parti politik yang membantu menyelesaikan masalah rakyat yang terkesan teruk sejak dua tahun lalu akibat penangan pandemik Covid-19.
“Rakyat inginkan parti yang turun ke akar umbi mendengar keluh-kesah mereka dan cuba membantu mengurangkan bebanan hidup dengan cara menyediakan pekerjaan serta meningkatkan pendapatan mereka.
“Saya percaya rakyat akan terus bersama dan menyokong jika kita (PN) terus menjadikan rakyat sebagai fokus perjuangan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian sempena Kenduri Rakyat Aidiladha Perikatan Nasional Negeri Perak di Kampung Manjoi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan menyatakan PN sendiri telah membuktikan parti berkenaan sentiasa mengutamakan nasib hidup rakyat sewaktu menjadi Kerajaan ketika wabak Covid-19 melanda negara sedikit waktu dahulu.
“Tahniah kepada PN Negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana berjaya menganjurkan majlis ini dengan berjaya sekali.
“Terima kasih juga kerana semua pimpinan parti Bersatu, Pas dan Gerakan Negeri Perak yang memberi sokongan padu dalam apa sahaja program PN negeri selama ini.
Malah menurut beliau, jumlah kehadiran yang begitu ramai, sekali lagi membuktikan rakyat semakin menerima gabungan ini yang berpegang kepada prinsip integriti dan berjuang menyelesaikan masalah hidup rakyat.
“Sokongan padu yang sama seumpama ini sudah dapat kita lihat ketika majlis pelancaran PN Kelantan di Tanah Merah awal bulan ini dengan kehadiran puluhan ribu rakyat ke majlis tersebut.
-EDISI9