29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Program Jualan Keluarga Malaysia diperluas ke 613 lokasi

Rakyat berpeluang membeli barangan dengan lebih murah sehingga 20 peratus daripada harga pasaran.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PROGRAM Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang kini diadakan di 222 kawasan akan diperluaskan sehingga 613 lokasi lain di seluruh negara, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, fokus utama PJKM untuk penjualan barang-barang keperluan harian seperti ayam, telur, minyak masak, beras dan lain-lain.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan kira-kira RM80 juta bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan harian pada harga lebih murah daripada pasaran.

“PJKM akan diadakan setiap minggu bermula bulan ini berbanding dua kali seminggu sebelum ini bagi memastikan rakyat mampu membeli barangan keperluan dengan harga yang berpatutan.

“Melalui program ini, rakyat berpeluang membeli barangan dengan lebih murah sehingga 20 peratus daripada harga pasaran.

“Ini dapat meringankan beban kos sara hidup bulanan, lebih-lebih lagi dari segi barangan dapur dan keperluan,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Annuar berkata, PJKM akan melibatkan beberapa kementerian dan agensi di bawahnya iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ujar beliau lagi, pendekatan kali ini juga akan melibatkan kerjasama kedai-kedai tertentu tidak kira kecil atau besar termasuk kedai-kedai koperasi.

“Ia akan melibatkan penyertaan dan kerjasama wakil-wakil rakyat bagi membolehkan mereka membantu memilih lokasi, membuat publisiti dan sama-sama menganjurkan program ini secara besar besaran,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan