29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PPD perlu jadi ejen sebar luas dasar, hala tuju pendidikan

Persepsi atau tanggapan kehadiran PPD di sekolah sebagai 'mencari salah', perlu diubah.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEMUA Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) harus menjadi ejen yang bertanggungjawab menyebar luas dan menjelaskan tentang dasar, perancangan serta hala tuju pendidikan negara yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada kumpulan sasar iaitu guru, sekolah dan ibu bapa.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pegawai PPD perlu sentiasa hadir di sekolah bagi mengenal pasti masalah, keperluan serta mencari penyelesaian segera kepada perkara tersebut.

“PPD perlu menjadi pemudah cara antara pihak sekolah dengan JPN dan juga KPM sekiranya perkara tersebut tidak boleh diselesaikan di peringkat PPD.

“Persepsi atau tanggapan kehadiran PPD di sekolah sebagai ‘mencari salah’, perlu diubah.

“Sebagai institusi yang paling dekat dengan sekolah, PPD perlu menjadi rakan yang sentiasa berusaha membantu sekolah,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Mengukuhkan lagi keyakinan serta kepercayaan kata beliau, hubungan baik antara PPD, pentadbir sekolah dan guru akan membantu kelancaran pelaksanaan setiap dasar, perancangan serta transformasi pendidikan yang digariskan kementerian.

“Untuk memastikan pegawai PPD dapat menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan secara optimum, KPM sentiasa berusaha memperkasakan sistem penyampaian agar maklumat yang tepat dapat disalurkan antara KPM-JPN-PPD-Sekolah.

“Dengan pengalaman serta hubungan baik sedia ada antara PPD, sekolah dan juga guru, saya yakin usaha memperkukuh peranan pegawai PPD ini boleh dilakukan seiring transformasi pendidikan yang digariskan KPM,” katanya.

Terdahulu beliau, bertemu dengan 146 pegawai PPD yang menyertai siri kedua Konvensyen PPD di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Mereka terdiri daripada pegawai PPD dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Sabah dan Labuan.

Ini adalah susulan konvensyen pertama minggu lalu yang melibatkan seramai 142 pegawai PPD dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Pahang dan Sarawak. – Edisi 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan