31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PM lancar perlindungan insurans kenderaan myezycover.com

Mesti Baca

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan pembiayaan insurans kenderaan Keluarga Malaysia dalam talian, myezycover.com yang memberi manfaat kepada kira-kira 1.56 juta penjawat awam.

Perdana Menteri berkata, pembiayaan insurans itu menyediakan kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar peratus.

Beliau berkata, penjawat awam juga boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa apa-apa bayaran pendahuluan.

“Sukacita saya maklumkan bahawa, inisiatif yang dilancarkan pada hari ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh semua penjawat awam tetapi juga mereka yang bertaraf kontrak.

“Penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak, layak memohon skim Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan,” kata Perdana Menteri ketika melancarkan myezycover.com di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohammed, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fatah Abdullah dan Pengerusi A Tech Insure Sdn Bhd, Tan Sri Abu Kassim Mohammed.

Ismail Sabri berkata, pembiayaan insurans itu juga menyediakan kemudahan bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan, melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA).

Kata beliau, dengan myezycover.com, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan ‘Mudah, Jimat dan Pantas’ manakala nota perlindungan insurans diperoleh hanya dalam tempoh lima minit.

“Pembiayaan ini berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan, yang merupakan pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, dengan pelbagai manfaat yang ditawarkan, penjawat awam boleh mengambil perlindungan tambahan yang lebih komprehensif untuk kenderaan masing-masing.

Beliau berkata, ini bagi memastikan kenderaan serta penumpang berupaya dilindungi daripada kemalangan, serta bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan lain-lain.

“Inisiatif ini tidak berorentasikan komersial semata-mata. Apa yang paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan, yang menjadi tanda aras komitmen dan kesungguhan kerajaan.

“Pada masa yang sama, usaha ini dapat membantu pegawai kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau telah berbincang M. Saravanan agar myezycover.com ini turut diperluaskan kepada kakitangan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta dalam masa terdekat. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan