25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Penjawat jawatan dalam UMNO masih sah, tidak wujud ‘caretaker’

Mesti Baca

UMNO boleh membuat keputusan dasar berhubung kedudukan parti itu kerana penjawat jawatan dalam parti itu di semua peringkat penggal ini masih sah sehingga 29 Disember 2022.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini kerana UMNO telah mengikuti segala Perlembagaan parti termasuk penangguhan pemilihan tidak lebih daripada 18 bulan di bawah fasal 10.16.

Beliau berkata, tidak wujud istilah caretaker atau ‘penjaga’ dalam perlembagaan UMNO manakala penangguhan itu telah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Berikut kenyataan penuh Ahmad berhubung isu tersebut:

Ada tulisan yang berlegar di ruangan maya bahawa penjawat jawatan UMNO kini adalah caretaker atau “penjaga”.

Lantas mereka membuat ulasan yang salah kononnya UMNO tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar kerana status itu.

Dalam Perlembagaan UMNO fasal 10.16 berbunyi “Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

AHMAD MASLAN

Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan”.

Majlis Kerja Tertinggi telah pun membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan.

Penangguhan itu disahkan melalui surat kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, ROS pada 30 Ogos 2021.

Ini bermakna penjawat jawatan penggal ini dilanjutkan hingga 29 Disember 2022.

Ketika pelanjutan tempoh itu, tiada istilah “caretaker” dalam Perlembagaan UMNO. Dalam pertemuan saya dengan pihak ROS, mereka mengesahkan bahawa penjawat jawatan UMNO sekarang bukan berstatus caretaker.

Oleh itu, UMNO berhak membuat apa jua keputusan bagi kepentingan parti. Ini termaktub dalam Perlembagaan UMNO fasal 10.15 iaitu “Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti”.

Jumlah penjawat jawatan UMNO selain 56 orang Ahli MKT, terdapat Exco Wanita, Pemuda dan Puteri juga jawatan di peringkat 191 bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri serta terdapat sejumlah yg ramai di 21,156 Cawangan dan puluhan ribu lagi Wanita, Pemuda dan Puteri cawangan.

Ketika pelanjutan tempoh ini, UMNO telah antara lain memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021, terlibat dalam PRN Johor pada 12 Mac 2022, mengadakan Perhimpunan Agung UMNO pada 16-19 Mac 2021 dan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 15 Mei 2022.

Semuanya adalah sah daripada segi Perlembagaan UMNO itu sendiri.

Berhubung pindaan Perlembagaan UMNO pula, kami masih lagi menunggu kelulusan daripada ROS.

Segala dokumen tambahan telah diberi. Tiada sebarang persoalan dan dokumen lain yang ROS perlukan. Ini saya tanyakan sendiri kepada mereka.

Adalah diyakini UMNO telah melaksanakan pindaan itu mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan.

Pindaan kepada Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang diputuskan oleh Perhimpunan Agung Khas UMNO juga adalah teratur mengikut Fasal 30 Perlembagaan UMNO.

Kami percaya dan berharap tiada sebarang halangan untuk ROS untuk meluluskan pindaan ini.

Kelulusannya juga adalah sepertimana kelulusan diberikan oleh ROS kepada parti MCA berkenaan pindaan perlembagaannya yang membawa maksud sama / setaraf dengan pindaan Perlembagaan UMNO ini. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan