33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Pemandu lori rempuh 12 kenderaan di Tambak Johor ditahan

Kemalangan berkenaan dilaporkan berlaku pada pukul 9.25 pagi tadi.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEORANG pemandu lori berusia 34 tahun ditahan polis selepas terlibat dalam nahas membabitkan 12 buah kenderaan di Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dan Singapura, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan berkenaan dilaporkan berlaku pada pukul 9.25 pagi tadi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada kerosakan teknikal membabitkan lori yang membawa muatan habuk kayu.

“Kemalangan yang berlaku itu melibatkan 12 buah kenderaan, dengan enam daripada merupakan kenderaan berdaftar di Malaysia dan enam yang lain bernombor pendaftaran Singapura. Kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahupun kecederaan sebaliknya hanya laporan kerosakan kenderaan diterima. Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya hari ini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya telah mengambil maklum berkenaan video tular mengenai kejadian tersebut dan tindakan tegas bakal diambil.

“Agensi di bawah Kementerian Pegangkutan, Jambatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan segera menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden ini.

“Sementara pihak PDRM akan membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini

Ujar Ka Siong lagi, tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah JPJ melengkapkan audit ICOP.

Jelas Ka Siong lagi, ini termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Manakala pihak MIROS pula akan menyiasat dari aspek teknikal, untuk mencari punca kemalangan tersebut berlaku.

“Orang ramai yang berada di tempat kejadian semasa kemalangan tersebut berlaku diminta menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video jika ada, bagi membantu siasatan.

-EDISI9

Terkini

Isu kalimah Allah tidak boleh dipandang remeh – Tunku Ismail

ISU kalimah Allah pada stoking yang dijual oleh rangkaian kedai serbaneka tidak boleh dipandang remeh, titah Pemangku Sultan Johor,...

Lagi Artikel Berkaitan