29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tergamak hina agama sendiri atas nama komedi – Asma Harun

Senario berkenaan merupakan satu musibah ummah yang parah.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PENDAKWAH bebas dan penceramah terkenal tanah air, Ustazah Asma’ Harun menyelar tindakan seorang wanita yang tular sejak semalam mempersendakan agama Islam di pentas “Stand-Up Comedy”.

Lebih menyedihkan lagi menurut beliau, video berkenaan tular di saat umat Islam sedang dalam musim Haji, memperbanyak ibadah, melakukan persiapan korban.

“… tiba-tiba tular sebuah video seorang wanita yang tidak segan silu mengaku menghafaz 15 juzuk al-Quran, lalu menanggalkan tudung dan mendedahkan auratnya di pentas “Stand-Up Comedy”.

“Allahu Akbar, apakah yang sedang berlaku kepada anak-anak muda Islam kita hari ini? Adakah agama

Islam itu sekadar pada nama sahaja, namun jauh sekali untuk diamalkan dalam kehidupan?

Kongsi beliau dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Menurut Asma, senario berkenaan merupakan satu musibah ummah yang parah.

“Atas nama lawak dan jenaka, perbuatan begitu sanggup dilakukan. Ia bukan lagi soal maksiat peribadi yang harus didiamkan tetapi boleh dikira sebagai jenayah kerana berbangga mempersendakan agama Islam di khalayak umum,” katanya.

Menurut beliau, Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 seksyen 7 telah menyatakan bagi kesalahan menghina, atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai terutamanya orang Islam berkenaan larangan mempersendakan agama serta pemikiran liberal yang semakin menular dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Bayangkanlah betapa tenatnya dunia hari ini. Tanpa rasa segan dan malu, perbuatan sebegini begitu mudah berlaku.

“Bagaikan jarum halus yang menyelinap ke dalam saraf, pemikiran liberal ini masuk secara perlahan-lahan.

“Kononnya sekadar lawak dan bahan komedi, lalu perbuatan menghina agama dihalalkan.

“Mungkin baginya, agama itu mengongkong kebebasan manusia, lalu dimulakan pengenalan dirinya dengan dibesarkan dalam keluarga yang kuat berpegang pada ajaran agama,” kongsinya,

Advertisements

Ujar Asma lagi, bila orang yang kurang faham melihat, pasti akan timbul sangka buruk pada orang yang menerapkan ajaran Islam dalam keluarga.

“Apabila berita ini mula diperkatakan tadi, terus saya teringat kepada anak-anak di rumah. Dalam dunia akhir zaman seperti ini, akidah dan keimanan dalam diri akan menjadi benteng terkuat.

“Godaan demi godaan akan sentiasa hadir, namun bagi yang lemah akan tertewas,” katanya.

Asma turut menyeru ibu bapa, agar bersama – sama mengambil tanggungjawab berkenaan untuk  mendidik zuriat keturunan dengan Islam.

“Jati diri dan pegangan hidup Islam ialah sesuatu yang hampir hilang. Berdoalah dan minta kepada-Nya agar seluruh keturunan kita dijauhi daripada terjerumus kepada kemungkaran.

“Bersyukurlah kita hari ini apabila ramai yang memberi nasihat dan teguran. Sungguh, peranan amar makruf nahi mungkar ini terletak di bahu kita semua, ketahuilah bahawa bala bukan sahaja diturunkan kepada golongan yang melakukan kemungkaran, bahkan semua sekali tanpa pengecualian.

Semalam, tular sebuah video memaparkan tindakan seorang pelawak wanita yang menanggal tudung dan membuka pakaiannya di hadapan ramai ketika mengadakan persembahan komedi solo di sebuah kelab di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Dalam video berdurasi 53 saat berkenaan, Amy mengaku berketurunan Melayu, beragama Islam dan menghafal 15 juzuk al-Quran.

Video tersebut mengundang kecaman sehingga mendapat perhatian banyak pihak termasuklah golongan pendakwah, selebriti dan pelawak yang menyifatkan perbuatannya sangat memalukan dan menghina Islam.

Selain mendapat perhatian serius Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), satu laporan polis tentang perbuatan wanita dalam video berkenaan juga sedang dalam siasatan polis.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata siasatan berhubung kes itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menjalankan siasatan berhubung satu klip video tular disyaki menghina agama Islam, yang yang berlaku di sebuah kelab di sekitar Taman Tun Dr Ismail.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan