30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tuduhan tak berasas, kait Rina Harun lindungi Rumah Bonda

KPWKM merujuk kepada satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram pada 12 Jun lalu mempertikaikan tindakan penguatkuasaan ke atas Rumah Bonda dan menuduh Rina melindungi rumah kebajikan tersebut.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TUDAHAN terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun yang mengaitkan beliau bersubahat melindungi Rumah Bonda adalah tidak berasas dan berunsur fitnah.

KPWKM menerusi satu kenyataan berkata, segala tindakan yang diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan mengeluarkan kenyataan berunsurkan fitnah dengan tujuan menjatuhkan reputasi dan menangguk di air yang keruh adalah tidak wajar pada waktu perbicaraan kes Bella masih lagi berjalan di mahkamah.

“Perbincangan lanjut bersama pihak Jabatan Peguam Negara akan dilaksanakan dan laporan kepada Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan dibuat bagi memastikan tuduhan seperti ini tidak berulang lagi.

“KPWKM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sesuai terhadap individu yang berkenaan,” kata kenyataan tersebut hari ini.

KPWKM merujuk kepada satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram pada 12 Jun lalu mempertikaikan tindakan penguatkuasaan ke atas Rumah Bonda dan menuduh Rina melindungi rumah kebajikan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, tindakan penguatkuasaan oleh JKM ke atas Rumah Bonda telah dimulakan sejak Julai tahun lalu dan berdasarkan siasatan didapati premis berkenaan tidak berdaftar dengan JKM di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] yang merupakan satu kesalahan di bawah akta sama.

“Susulan itu, tindakan lak (seal) terhadap premis berkenaan telah diambil pada 12 Julai 2021 selaras dengan Seksyen 16A Akta 506.

“Kertas Siasatan juga telah dibuka dan tindakan kompaun telah diambil selaras dengan seksyen 21A Akta 506 dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan (Pengkompaunan Kesalahan) 2011 serta dibuat dengan keizinan Pendakwa Raya berdasarkan fakta-fakta kes yang jelas,” katanya.

Amaun kompaun sebanyak RM5,000 yang telah dikenakan terhadap pengendali Rumah Bonda juga menurut kenyataan berkenaan adalah amaun kompaun maksimum yang boleh dikenakan di bawah Akta 506.

Untuk rekod, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan