25.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Tiga bakal jemaah haji disahkan positif COVID-19

Jemaah terbabit akan menjalani kuarantin dan dibenar berlepas ke Tanah Suci selepas ujian negatif

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TIGA bakal jemaah haji dalam kumpulan pertama yang dijadual berlepas ke Tanah Suci pada hari ini dilaporkan positif COVID-19 selepas melakukan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, kesemua mereka kini sedang menjalani kuarantin mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Kerajaan Arab Saudi menetapkan bahawa hanya jemaah yang negatif PCR sahaja dibenarkan tunai haji.

“Begitu juga syarikat penerbangan menetapkan bahawa mereka yang negatif sahaja dibenarkan meneruskan penerbangan,” katanya di Sepang, Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, setelah selesai menjalani tempoh kuarantin, pihak TH akan membantu jemaah tersebut untuk menunaikan haji sekiranya ujian PCR seterusnya didapati negatif.

“Jika ujian PCR yang dilakukan sekali lagi negatif dan penerbangan masih ada, kita akan cuba sedaya upaya untuk mendapatkan kerusi kosong untuk membawa mereka ke Tanah Suci.

“Apa yang penting diharapkan bakal haji harus teliti dari segi mengambil PCR 56 jam sebelum waktu lapor diri,” ujarnya.

Tambahnya, bagi pasangan pula, sekiranya salah seorang didapati positif COVID-19, terpulang kepada mereka untuk meneruskan perjalanan atau sebaliknya.

“Kalau pergi berasingan mereka akan ditempatkan di hotel yang berlainan. Jadi ia akan menjadi sedikit rumit ketika mereka berada di sana nanti,” ujarnya.

Menurut Syed Saleh, persiapan haji pada tahun ini berjalan dengan lancar meskipun ia dibuat dalam tempoh yang singkat kerana pengumuman dibuat agak lambat.

“Ini hasil dari penyelarasan yang kita buat bersama dengan pelbagai agensi terlibat dalam proses operasi haji di tanah air.

“Saya bersyukur kerana jemaah haji beri kerjasama yang baik kepada pihak TH. Ia melancarkan lagi proses yang perlu dilakukan dari awal sehingga pada hari penerbangan,” ujarnya.


Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan