27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pelepasan bakal jemaah haji kumpulan pertama lancar

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PUSAT Konvensyen Movenpick KLIA di Sepang hari ini kembali meriah, selepas dua tahun sunyi, dengan penghantaran kumpulan pertama bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci.

Ramai kalangan tetamu Allah itu sudah berada di Kompleks Tabung Haji KLIA ini sebelum subuh lagi kerana terlalu teruja.

Pengurus Besar pusat berkenaan, Wan Enderi Mohd. Saad yang gembira dapat menyantuni kumpulan duyufurrahman untuk penerbangan pertama itu melahirkan rasa syukur.

“Walaupun ini julung kali saya terlibat secara langsung, namun keadaan pagi ini terkawal dengan bakal jemaah begitu tertib dan tiada perkara buruk berlaku,” katanya, lapor Utusan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Tabung Haji dan amat gembira melihat keceriaan wajah bakal jemaah yang datang jauh dari seluruh negara.

Kumpulan seramai 298 jemaah penerbangan KT01 itu merupakan antara sebahagian daripada 14,306 individu susulan penetapan kuota rasmi Malaysia musim haji 1443H/2022M.

Lebih manis, mereka turut diraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluangkan masa beramah mesra di sebalik jadual padat program beliau sepanjang hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Mereka berlepas pada pukul 1.35 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini menerusi penerbangan SV 5635 milik syarikat Saudia Airlines.

Bakal jemaah terbabit dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Kota Suci Madinah pada pukul 4.55 petang waktu Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Wan Enderi berkata, suasana di pusat berkenaan amat teratur dengan ramai ahli keluarga dan waris bakal jemaah terbabit tidak bersesak memasuki kawasan tersebut.

“Jika sebelum ini, agak pening kerana seorang jemaah mesti diiringi penduduk satu kampung tetapi kali ini mereka akur hanya boleh singgah turun di luar pusat konvensyen,” kata beliau.

Mesyuarat koordinasi dengan pihak Tabung Haji lebih sebulan lalu turut berjaya memastikan keadaan di pusat itu lebih kemas dan tiada suasana kelam kabut meskipun ramai waris hadir.

Malaysia tidak menghantar jemaah selama dua tahun berturut-turut susulan penutupan pintu sempadan 9 dengan kali terakhir melibatkan seramai 31,600 orang pada 2019 lalu.

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan