26.1 C
Kuala Lumpur
Monday, September 26, 2022

Sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar tidak sah tumpas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

POLIS Kontinjen Perlis menumpaskan sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar yang berselindung di sebalik perniagaan syarikat telekomunikasi dengan memberkas tujuh individu termasuk tiga wanita Rabu lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, kesemua mereka yang juga warga tempatan berumur lingkungan 19 hingga 35 tahun itu diberkas ketika sedang asyik menggunakan peralatan komputer serta mesin di sebuah premis di sekitar Taman Cahaya pada jam 5.40 petang.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan pendaftaran kad prabayar secara tidak sah.

“Suspek juga didapati menggunakan data peribadi warga tempatan dan asing yang dibekalkan sindiket lain bagi mengaktifkan kad prabayar berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada Jumaat.

Surina berkata, suspek terlibat juga dikesan bertindak menjual kad prabayar yang telah diaktifkan itu kepada sindiket yang menjalankan aktiviti jenayah komersial.

Baca juga:   KKM lulus penggunaan dua lagi vaksin termasuk Jansen

Beliau berkata, polis merampas peralatan seperti 15 monitor, 14 unit pemprosesan komputer, papan kekunci (13), pemacu kilat (1), kad sim multiplexer (51), kad sim (3,084), modem (1) dan tetikus (13) dengan nilai keseluruhan bernilai RM130,000.

“Tujuh suspek berkenaan didapati tidak mempunyai kesalahan jenayah lampau dan kesemua mereka ditahan reman selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Jun ini,” katanya.

Surina berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memiliki kelengkapan peranti tiada standard.

Baca juga:   Hilang wang simpanan KWSP ditipu sindiket tawaran kerja

“Polis Perlis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk melengkapkan siasatan kes ini,” katanya. – Bernama



Terkini

Tak pelik bukan PH diumum musuh utama PN – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin, Barisan Nasional (BN) musuh utama Perikatan...

Lagi Artikel Berkaitan