25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Najib perli parti ‘makan telur’ di dua PRN tak mahu PRU-15 segera

Kalau PKR menang 20, 20, 30 dalam PRN itu dah lama Anwar desak bubar Parlimen

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Najib Razak hari ini memerli PKR dan Presidennnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) segera diadakan kerana hanya ‘makan telur’ (tewas semua kerusi) dalam dua pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekiranya PKR memenangi banyak kerusi tiga PRN sebelum ini, sudah pasti Anwar akan terus mendesak Parlimen dibubarkan.

“Partinya makan telur di PRN Melaka, makan telur di PRN Sarawak dan menang satu kerusi (daripada 56) di PRN Johor.

“Sebaliknya jika PKR menang 20, 20 dan 30 di PRN masing-masing, dah lama Anwar desak Parlimen dibubarkan dengan segera serta tuduh kerajaan hari ini penakut sebab tidak mahu kembalikan mandat pada rakyat.

“Dengan sekelip mata saja, naratif Anwar akan bertukar,” kata beliau dalam Facebook beliau hari ini.

Najib turut merasa pelik dengan Anwar yang sering bercakap berbelit-belit mengikut keadaan dan kepentingan diri.

Katanya, Anwar langsung tiada pendirian apabila sebelum ini menganggap kerajaan yang dirampas daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan pintu belakang, tidak sah, rompak mandat rakyat dan lain-lain.

“Tapi hari ini dia pula mahu pertahankan kerajaan yang dia kata adalah kerajaan pintu belakang, kerajaan tak sah, tak ada mandat rakyat, bukan dipilih rakyat,” katanya.

Menurut Najib, malahan Anwar tidak mahu mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memulihkan satu kerajaan yang sah sebaliknya menggunakan naratif ‘kluster mahkamah’.

“Naratif “kluster mahkamah mahu selesaikan kes” adalah alasan yang rapuh serta menipu oleh pihak-pihak yang takut pilihanraya,” kata beliau.

Najib berkata, realitinya mengadakan PRU-15 sekarang mampu menyelesaikan masalah paling serius sejak PRU-14 lalu dengan memulihkan sebuah kerajaan yang kuat serta kembalikan kepercayaan rakyat.

Beliau berkata, syarikat penarafan kredit antarabangsa dunia turut mengakui sekiranya PRU-15 diadakan dengan segera dan sebuah kerajaan yang kuat dikembalikan maka dasar-dasar kerajaan juga akan bertambah baik.

“Kerajaan yang kuat dan stabil dengan dasar-dasar lebih elok juga mampu menarik lebih banyak pelaburan asing, memperkuatkan pasaran saham Malaysia dan juga nilai Ringgit bagi mengurangkan tekanan inflasi import,” kata beliau.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan