26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Muhyiddin nafi tuduhan sudah dapat sokongan untuk jadi PM

Mesti Baca

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan tuduhan bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk kembali sebagai Perdana Menteri.

Presiden Bersatu itu menegaskan bahawa beliau tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Tuduhan tersebut adalah tidak benar.

“Apa yang dibincangkan dalam siri pertemuan saya dengan beberapa pimpinan parti-parti politik selain BN (Barisan Nasional) adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perkara tersebut dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik daripada parti-parti pembangkang yang menemuinya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, rata-rata berpendapat cara yang terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN.

Ini kerana, kata beliau, kemenangan BN dalam PRN Melaka dan Johor adalah semata- mata kerana undi parti-parti selain BN berpecah.

Katany, BN tidak mendapat sokongan majoriti rakyat malah sokongan kepada parti itu tidak bertambah.

“Susulan itu, saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pimpinan parti-parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu.

“Inisiatif ini saya ambil setelah mendapat persetujuan Biro Politik Bersatu dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

“Saya tidak bertindak secara bersendirian tetapi mendapat mandat daripada parti,” katanya.

Muhyiddin berkata, formula satu lawan satu yang dikemukakan Bersatu adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya (electoral pact) yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baharu parti-parti politik.

Tujuan persefahaman itu, jelas beliau, adalah untuk mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam pilihan raya yang hanya menguntungkan BN sepertimana yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor.

“Electoral pact ini mesti diasaskan kepada satu agenda bersama (common agenda) untuk memastikan Malaysia tidak kembali dikuasai oleh kumpulan kleptokrat yang pada masa ini menguasai parti BN.

“Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, dalam siri perbincangannya dengan pimpinan parti-parti politik selain BN, beliau mengambil maklum tentang pendirian setiap parti berhubung cadangan tersebut.

Sehubungan itu beliau mengambil sikap yang terbuka dan pintu rundingan Bersatu sentiasa terbuka kepada parti-parti selain BN untuk mencapai kata sepakat mengenai formula yang terbaik bagi menghadapi PRU-15. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan