27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kenaikan elaun pembantu Tabika KEMAS tunggu kelulusan MOF

Cadangan menaikkan elaun pembantu Tabika KEMAS sebelum ini telah disuarakan beberapa pihak berikutan bebanan tugas mereka yang semakin meningkat dan tidak setimpal dengan gaji yang diterima iaitu kira-kira RM500 sebulan.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CADANGAN menaikkan elaun pembantu Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kini di peringkat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menjangkakan MOF bakal memberikan maklum balas yang positif mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

“Itu (cadangan menaikkan elaun pembantu Tabika Kemas) kita sudah bawa ke JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Kementerian Kewangan.

“Hendak naikkan elaun itu kita kena ada kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk dapatkan wang itu balik kepada kita (KPLB), InsyaAllah kita akan dapat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Ke-3, Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu, (UMT) di Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KETENGAH, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Jelas Mahdzir, cadangan menaikkan elaun pembantu Tabika KEMAS sebelum ini telah disuarakan beberapa pihak berikutan bebanan tugas mereka yang semakin meningkat dan tidak setimpal dengan gaji yang diterima iaitu kira-kira RM500 sebulan.

“Dahulu tugas pembantu Tabika KEMAS hanyalah untuk memasak dan selepas itu mereka pulang, itu sahaja, namun kemudiannya pembantu tabika ini sudah jadi seperti cikgu pula, banyak kerja yang dia (pembantu Tabika Kemas) kena buat,” katanya.

Mengenai kertas cadangan menaik taraf guru Tabika Kemas daripada lulusan diploma kepada Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Mahdzir berkata perkara itu telah dibawa dan dibincangkan ke peringkat JPA.

Tambahnya, pelbagai perkara perlu dipertimbangakan oleh kerajaan sebelum meluluskan cadangan tersebut kerana ia membabitkan implikasi kewangan dan masa yang sesuai untuk melaksanakannya.

“Setakat ini ia masih lagi dalam proses perbincangan (bersama JPA), kita ada ‘focus group’, kita kena tahu hendak buat ini perlu mengikut ‘batch by batch’, kita hendak tahu bila kita boleh mula buat, ia juga akan melibatkan emolumen dan selepas itu kita kena tahu berapa bajet yang diperlukan,” kata Mahdzir.

Sementara itu, sejumlah 648 graduan Kolej KETENGAH menamatkan pengajian mereka tahun ini.

Mereka terdiri daripada 244 graduan sijil dan 404 graduan Diploma.

Sebahagian besar mereka adalah lulusan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, kimpalan dan pengurusan ladang kelapa sawit.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan