26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Janusha buktikan kewibawaan wanita kita dalam ketenteraan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEGAWAI wanita pertama negara yang berjaya menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di United States Naval Academy (USNA), B. Janusha membuktikan anak Malaysia hebat di pentas dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pegawai Kadet Kanan (PKK) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu juga menyerlahkan kewibawaan wanita muda Malaysia untuk bersaing dalam dunia ketenteraan.

“Saya amat bangga dengan kejayaan PKK Janusha yang bukan sahaja membuktikan anak Malaysia hebat di pentas dunia.

“Malah menyerlahkan kewibawaan golongan wanita muda Malaysia untuk bersaing dalam dunia ketenteraan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Majlis tamat pengajian USNA itu disempurnakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Ismail Sabri berkata, kejayaan tersebut diharapkannya menjadi suntikan semangat kepada warga TLDM untuk terus berusaha mencapai kejayaan di masa hadapan.

“Syabas dan tahniah PKK Janushaa!,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah telah menzahirkan ucapan tahniah kepada Janusha atas kejayaan tersebut.

Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu sebelum ini telah mencipta sejarah sebagai wanita Malaysia pertama diterima masuk ke akademi tentera berprestij AS itu dalam sejarah kemasukan pelajar negara ini ke sana sejak 1971.

Janusha telah memulakan pengajian dan latihan ketenteraan di USNA pada tahun 2018 selama empat tahun bersama 1,085 pelatih dari AS dan 14 pelatih dari luar negara itu. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan