32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Imam dituduh amang seksual, bogel depan kanak-kanak

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG imam didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka di sini, hari ini atas pertuduhan kesalahan seksual termasuk berbogel di depan kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 60 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus selepas tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan imam di sebuah surau di Limbongan di sini, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Tindakan itu didakwa dilakukan tertuduh antara pukul 3.30 hingga 5 petang di sebuah surau di Limbongan di sini pada 28 Mei lalu.

Terduduh juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun antara pukul 5 petang sehingga 5.30 petang di dalam stor di surau sama pada hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal bagi maksud seksual dengan berbogel di hadapan mangsa sama berusia 13 tahun di lokasi dan waktu sama.

Bagi tindakan itu, warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin, tertuduh yang mempunyai dua anak turut didakwa dalam milikannya terdapat video lucah dalam telefon bimbit.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Mustapa merayu agar jaminan rendah dapat diberikan dengan alasan tertuduh sudah berusia dan menderita penyakit gout.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM23,000 dan menetapkan tarikh 15 Julai sebagai sebutan semula keempat-empat pertuduhan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan Sharina Farhana Nor Sa’ari.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan